Analisis #Bersih5

(Utusan Online) Perhimpunan haram Bersih 5.0 dan cabaran selepas ini

Di sebalik persiapan yang berbulan-bulan lamanya termasuk ceramah promosi di seluruh negara, perhimpunan haram Bersih 5.0 gagal memberi impak. Majoriti peserta masih lagi orang Cina yang menyokong DAP. Kehadiran pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad bersama Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir tidak mampu menarik orang Melayu.
Tanpa pembabitan Pas, sekali lagi perhimpunan Bersih hambar. Makin terserlah bahawa pengaruh Pas di akar umbi jauh lebih besar mengatasi gabungan PKR, PAN dan Parti Pribumi. 

Latar belakang menjelang perhimpunan itu juga tidak memihak kepada penganjuran Bersih. Banyak pihak daripada Raja Melayu, para mufti, badan bukan kerajaan, ahli-ahli akademik dan persatuan peniaga menyatakan bantahan keras. Selepas perhimpunan semalam, Najib Tun Razak masih menjadi Perdana Menteri. Sedangkan ceramah, Khairuddin Abu Hassan aktivis kempen anti-Najib baru-baru ini berapi-rapi mahukan lima juta rakyat sertai Bersih 5.0 bagi menjatuhkan Najib melalui perhimpunan itu.

Untuk kesekian kalinya rakyat Malaysia memperlihatkan kematangan menolak Bersih. Tahniah, tahniah, tahniah. Apatah lagi isu pokok iaitu kononnya memperjuangkan pilihan raya telus dan adil sudah bercampur aduk dengan pelbagai isu. Berdasarkan laporan, walaupun majoriti Cina menguasai Bersih, jumlahnya jauh berkurangan berbanding Bersih 0.4, antara lain disebabkan isu penonjolan Mahathir masih tidak disenangi ramai penyokong tegar DAP.

Faktor lain adalah isu integriti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang telah menghadapi pendakwaan di mahkamah atas tuduhan rasuah. Anehnya tanpa rasa malu beliau hadir semalam memberikan mesej yang songsang. Secara umum, rata-rata rakyat tidak mahu kerajaan digulingkan di luar proses demokrasi, tunggu sahaja pilihan raya umum. 

Yang lebih utama adalah majoriti rakyat enggan masuk perangkap Bersih yang mendapat dana asing termasuk daripada hartawan dan penyangak matawang, George Soros yang terkenal dengan muslihat campur tangannya. Kedaulatan mengatasi segala-galanya.

Sentimen itu terserlah di Turki apabila rakyatnya bangkit menolak rampasan kuasa tentera yang didalangi kuasa luar. Awang tabik Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar yang bertegas menangani ancaman perhimpunan haram itu secara preemtif.

Sudah banyak amaran diberikan dan inilah masa untuk bertindak. Penangkapan 24 individu termasuk pemimpin politik menjelang perhimpunan itu adalah amat wajar demi menjaga ketenteraman awam. Ramai lagi patut disiasat kerana menghasut. 

Antaranya mubaligh dan rumah ibadat tertentu yang turut ghairah mahu menggulingkan kerajaan, yang dikhuatiri turut boleh mengakibatkan persengketaan agama. Ini meliputi usahawan dan syarikat (termasuk firma guaman) yang menyokong Bersih tetapi terus menerima kontrak dan bisnes daripada kerajaan kerana ia hanya akan memperkasakan pihak yang salah.

Jangan lupa, hak majoriti rakyat juga perlu diambil kira iaitu mahukan pihak berkuasa tidak berkompromi. Perhimpunan haram itu telah ditangani dan dikawal dengan baik oleh polis biarpun berdepan banyak provokasi. Tahniah kepada warga polis yang bertugas dengan penuh dedikasi dan sabar.
Awang percaya agenda penganjur Bersih yang diperalatkan oleh pembangkang, akan terus menyala. 

Apatah lagi mereka mendapat dorongan luar biasa daripada pihak asing. Soros juga tidak mahu orangnya di sini menyerah kalah selagi misi belum tercapai. Cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu dan apa lagi selepas ini

Mesej Perkasa 

Semalam, badan bukan kerajaan (NGO) Melayu terbesar, Perkasa mengadakan persidangan serentak tiga sayapnya di sebuah hotel dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur iaitu menjelang persidangan agungnya hari ini. Lebih 1,500 hadir ke persidangan wira, wiranita dan wirawati dengan membahas pelbagai isu. Nun tidak jauh dari hotel persidangan, perhimpunan haram Bersih berlangsung yang menjejaskan pergerakan dan keharmonian hujung minggu warga kota di ibu negara. 

Keputusan Perkasa mengadakan mesyuarat agungnya bermula semalam adalah bukti pertubuhan itu menolak Bersih. Walaupun terdapat usaha pemimpin pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia melobi Perkasa bagi bersama mereka termasuk penganjuran Bersih, pertubuhan itu tidak berganjak.   Ketika ribuan peserta Bersih yang majoritinya penyokong DAP bertempik sorak, ahli-ahli Perkasa tertib di dalam dewan mencanai minda ke arah kepentingan agama, bangsa dan negara. 

Perkasa yang terkenal lantang tidak perlu menunjukkan kekuatan di jalanan tetapi tetap berpengaruh di akar umbi. Awang ucapkan tahniah dan syukur kerana Presiden Perkasa, Ibrahim Ali serta barisan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) tegas menolak Bersih. Begitu juga kepada NGO-NGO Melayu lain yang tidak merelakan agenda Bersih. 

Mesej yang sangat jelas. Dalam pada itu, mesyuarat agung Perkasa hari ini dijangka mengambil pendirian tegas dalam beberapa isu termasuk ke atas DAP. Biarlah Parti Pribumi akur kepada DAP tetapi bukan Perkasa, yang konsisten dalam pendiriannya. Semboyan itu akan kedengaran lagi hari ini.

Siapa sebenarnya anda? 

Ini cetusan nurani buat Dr. Mahathir Mohamad. Dengarkanlah. Apabila anda menyertai perhimpunan Bersih tahun lepas, anda sudah lari daripada landasan prinsip sendiri. Biar apa pun alasannya termasuk perubahan pendirian politik, mengapa perlu menjilat ludah sendiri. Kini segala-galanya mahu anda wajarkan, matlamat menghalalkan cara yang tidak boleh diterima.  Anda bercakap tentang integriti tetapi bersih sangatkah anda? 

Anwar Ibrahim sudah sekian lama membangkitkan kekayaan luar biasa keluarga anda, anak-anak dan kroni, yang setakat ini anda gagal jelaskan. Berbilion wang hilang dalam banyak skandal dan kepincangan sepanjang 22 tahun pentadbiran anda. Tanpa rasa malu, anda hasut rakyat ke perhimpunan jalanan yang suatu ketika anda jijikkan. Pemerintahan anda yang pernah dilabel oleh DAP dan PKR sebagai diktator dan mahafiraun, terselamat daripada ledakan demi ledakan perhimpunan seumpama itu kerana majoriti rakyat bersama anda.  

Semalam, anda sekali lagi sertai perhimpunan itu, yang dikuasai penyokong DAP dengan memakai baju kuning. Terlalu banyak penghinaan DAP terhadap agama dan bangsa selain agenda rasis tahap tertinggi yang memudaratkan negara. Sejarah teras dan perlembagaan mahu ditulis semula mengikut agenda Malaysian Malaysia. Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng menghitung hari untuk melihat kejatuhan kuasa politik Islam di tanah air ini, itulah yang anda selalu pesan kepada orang Melayu. 

Rupa-rupanya anda yang mudah lupa. Amarah dan dendam menguasai diri. Tidak hairan mengapa pemimpin Pas termasuk Nik Abduh Nik Aziz seru anda bertaubat, belajar agama dan mencermin diri. Anda pernah berulang kali menegaskan bahawa perhimpunan haram termasuk Bersih adalah ancaman kepada rakyat dan sistem demokrasi.  Anda juga pernah memberi peringatan bahawa Bersih adalah alat agenda asing yang menggunakan parti pembangkang bagi mencapai matlamat menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi. 

Tiba-tiba hartawan George Soros yang  anda label sebagai musuh utama negara dan telah terbukti membiayai Bersih, kini anda senangi. Mana harga diri anda dalam mempertahankan kedaulatan? Sebagai pemimpin, kita bukan dinilai dengan apa yang kita mulakan tetapi bagaimana  pengakhiran kita, janganlah sampai menghina diri. Malah anda pernah beberapa kali menyatakan pemimpin yang bersekongkol dengan gerakan Bersih adalah pengkhianat kepada negara. Mengapa anda tidak menunggu sahaja pilihan raya umum, dengan menyakini kuasa penentuan rakyat di peti undi.  

Bukan sebaliknya membuka lebih luas campur tangan asing melalui perhimpunan ala Arab Springs, yang telah meranapkan beberapa negara Islam. Banyak tamadun dunia runtuh angkara pengkhianatan. Kejatuhan Empayar Bani Abasiyah di bawah Khalifah Al-Mustashim Billah wajar direnungkan. Kisahnya bagaimana pemimpin dan pembesar di dalam negara yang tidak berpuas hati dan pentingkan diri, berpaling tadah – membantu menjayakan agenda pihak luar – yang akhirnya membawa padah amat dahsyat. Belajarlah daripada sejarah. Jadi siapa sebenarnya anda? 

Kaya luar biasa 

Memandangkan kekayaan luar biasa Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Adam Rosli Abdullah, sudah menjadi isu kepentingan awam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh berdiam lagi. Kisah beliau yang baru berusia 28 tahun dan bergelar Datuk, mengundang perhatian seluruh negara. 

Adam dilaporkan mempunyai banglo bernilai antara RM3 juta dan RM4 juta di samping beberapa rumah lain serta kereta. Bagaimana dalam usia begitu muda, Adam Rosli boleh kaya dengan begitu cepat sedangkan beliau bukan daripada keluarga yang kaya?  Pembantu kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin juga dilaporkan enggan mengisytiharkan harta. Bagaikan ada yang tidak kena, jika itu reaksinya. 

Awang juga berharap Zuraida yang pernah terpalit dengan dakwaan hampir sama sebelum ini, turut tampil secara budiman untuk mengisytiharkan harta bagi membuktikan beliau bersih dan tiada kaitan dengan Adam. Melalui siasatan sahaja, Zuraida dan Adam berpeluang untuk membela diri dan memelihara nama baik mereka, jika terbukti tiada salah laku. Selain siasatan SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar  menyiasat sama ada Adam membayar cukai setimpal dengan kekayaannya. 

Kes ini menjadi makin menarik, mana tahu ia akan membongkar misteri lebih besar. 

Penang Malaysia. Love to eat, travel and share opinion throughout social media.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge