Istiadat keberangkatan balik Tuanku Abdul Halim penuh simbolik

image

(Utusan Malaysia) KUALA LUMPUR 12 Dis. – Raja Berjiwa Rakyat, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong hari ini dalam upacara penuh simbolik.

Tuanku Abdul Halim, 89, yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012, dan Tuanku Hajah Haminah berangkat meninggalkan Istana Negara dalam acara ringkas namun penuh istiadat diraja pada kira-kira pukul 8.20 pagi.

Keberangkatan balik baginda berdua diiringi Datuk Seri Mahdzir Khalid selaku menteri pengiring dan isteri Datin Seri Noraini Abdullah serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri Datin Seri Hizam Awang Ahmad.

Tuanku Abdul Halim yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai ‘muskat’ berangkat meninggalkan Istana Negara dengan menaiki kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Agong diiringi tujuh pengiring bermotosikal serta 20 pengiring am diraja daripada Kor Armor Diraja.

image

Ketika berangkat meninggalkan Istana Negara, baginda melintasi pasukan kawalan kehormat darjat daripada Unit I Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang diketuai Mejar Mohamed Zaid Mohamed Tazali, yang turut mempersembahkan ‘Hormat Diraja’.

Serentak itu, lagu Negaraku dimainkan mengiringi keberangkatan pasangan diraja ke Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang baginda berdua ke Kedah.

Ketibaan Seri Paduka berdua di Dataran Parlimen diiringi tiupan nafiri oleh 14 anggota daripada Pasukan Istiadat Diraja Tentera Darat dan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Baginda berdua kemudian diiring ke Pentas Diraja, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama, yang disusuli lagu Negaraku oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Kapten Muhammad Nor Azizan Yahya.  

Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong direndahkan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.

Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa barisan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disusuli persembahan ‘Hormat Diraja’ kali kedua serta lagu Negaraku.

Baginda berdua kemudian berkenan bersalaman perpisahan dengan barisan jemaah menteri, ketua jabatan serta diplomat asing sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semasa kenderaan yang membawa baginda berdua melalui Jalan Parlimen, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan mengucapkan selamat jalan kepada Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah. – BERNAMA

Selamat Berangkat YDP Agong Tuanku Abdul Halim kembali ke negeri Kedah.

Penang Malaysia. Love to eat, travel and share opinion throughout social media.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge