Mufti Perak : Mahkamah syariah, sivil perlu setaraf

IPOH 1 Feb. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mencadangkan agar kerajaan negeri membuat pindaan dengan meletakkan peruntukan berkaitan penubuhan mahkamah syariah dalam Undang-undang Tubuh Negeri agar statusnya setaraf mahkamah sivil.

Menurut beliau, peruntukan mahkamah syariah perlu diperluaskan supaya memberi ruang kepada orang bukan Islam hadir ketika perbicaraan, tidak hanya terhad kepada umat Islam sahaja.

“Mahkamah Syariah juga tidak sepatutnya dianggap sebagai satu entiti yang berada di luar institusi kehakiman sekaligus meletakkannya pada kedudukan yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman web rasmi Jabatan Mufti Perak (mufti.perak.gov.my) hari ini.

Harussani mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan Isnin lalu yang menetapkan bahawa penukaran agama tiga anak guru tadika, M. Indira Gandhi oleh bapa mereka yang memeluk agama Islam hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan akhir Indira yang mencabar tindakan bekas suami, Mohd. Ridhuan Abdullah menukar agama tiga anak mereka, Tevi Darsi­ny, Karan Dinish dan Prasana Diksa.

Harussani berkata, dari kaca mata Islam, apabila ibu bapa atau salah seorang daripada mereka memeluk Islam, maka anak mereka juga dikira sebagai memeluk Islam.

Menurutnya, namun dalam ini tersebut, panel lima hakim sebulat suara membenarkan rayuan pembatalan dan memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftaran Mualaf.

Beliau turut menyatakan kehairanan kerana Mahkamah Persekutuan kali ini menggunakan takrifan parent atau ibu bapa secara majmuk.

“Sedangkan dalam kes lain umpamanya kes R. Subashini melawan T. Saravanan pada tahun 2007, mahkamah yang sama telah membuat keputusan bahawa ‘salah seorang ibu atau bapa’ boleh membuat keputusan menentukan agama anak tanpa perlu persetujuan pasangan,” katanya. SUMBER : Utusan

Baca : Harussani saran pindaan angkat taraf Mahkamah Syariah

IPOH 1 Feb. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mencadangkan agar kerajaan negeri membuat pindaan dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.

Menurutnya, pinndaan itu berupaya mengangkat Mahkamah Syariah setaraf dengan mahkamah sivil.

Beliau berkata, peruntukan Mahkamah Syariah perlu diperluaskan supaya memberi ruang kepada orang bukan Islam hadir ketika perbicaraan, tidak hanya terhad kepada orang Islam sahaja.

“Mahkamah Syariah juga tidak sepatutnya dianggap sebagai satu entiti yang berada di luar institusi kehakiman sekaligus meletakkannya pada kedudukan yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan di dalam laman web mufti.perak.gov.my hari ini.
Harussani mengulas kes Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang pada Isnin lalu.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan akhir guru tadika, M. Indira Gandhi yang mencabar tindakan bekas suami, Mohd. Ridhuan Abdullah menukar agama tiga anak mereka, Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa. – UTUSAN ONLINE

Baca : Penukaran agama anak mualaf tidak sah – Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA 29 Jan. 2018 – Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan akhir guru tadika, M. Indira Gandhi yang mencabar tindakan bekas suami, Mohd. Ridhuan Abdullah menukar agama tiga anak mereka, Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa.

Kuorum berkenaan sebulat suara berpuas hati bahawa penukaran agama mereka perlu mendapat keizinan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak tersebut sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Guru tadika itu merayu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Disember 2015 yang tidak memihak kepadanya.

Panel tiga hakim ketika itu diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi (kini hakim Mahkamah Persekutuan) dalam keputusan majoriti 2-1 berpuas hati bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan perkara-perkara berkaitan agama Islam.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Mohd. Ridhuan serta empat yang lain untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh, Perak yang membatalkan sijil penukaran agama tiga anak lelaki itu.

Selain Pengarah JAIP dan Mohd. Ridhuan yang dahulunya dikenali sebagai K. Pathmanathan, perayu-perayu lain terdiri daripada Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Baca : Tukar agama anak 
perlu izin bekas pasangan

PUTRAJAYA 29 Jan. 2018 – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan, mualaf yang berhasrat menukar agama anak yang lahir daripada perkahwinan sivil, perlu mendapat keizinan bekas pasangan yang berlainan agama terlebih dahulu.

Ini kerana Sijil Perakuan Memeluk Islam yang didaftarkan oleh Pendaftar Mualaf tanpa mendapat kebenaran bekas isteri atau suami boleh menyebabkan sijil itu terbatal.

Perkara yang menjadi nas undang-undang itu dimuktamad­kan oleh panel lima hakim dike­tuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali ketika membenarkan rayuan akhir seorang guru tadika, M. Indira Gandhi, 43.

Mahkamah tertinggi negara berpuas hati, Sijil Perakuan Memeluk Islam yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) kepada tiga anaknya, terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat kebenaran wanita itu.

Kuorum berkenaan turut berpendapat, Pendaftar Mualaf ti­dak mematuhi peruntukan tertentu berhubung lafaz dua kalimah Syahadah di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 yang menyebabkan sijil berkenaan terbatal dan tidak mempunyai kesan.

Wanita tersebut mencabar proses penukaran agama yang dilakukan oleh bekas suami mualaf, Mohd. Ridhuan Abdullah, 48, terhadap Tevi Darsiny, 21, Karan Dinish, 20, dan Prasana Diksa yang kini berusia sembilan tahun.

Tevi dan Karan ketika itu tinggal bersama ibu mereka manakala Prasana yang baru berusia 11 bulan dipelihara oleh mualaf tersebut atau nama asalnya, K. Pathmanathan. Ketiga-tiganya me­meluk Islam pada 2 April 2009.

Indira Gandhi bukan mempertikai status pengislaman ketiga-tiganya, sebaliknya mencabar kesahan proses penukaran agama sedangkan mereka tidak mengucap dua kalimah Syahadah di hadapan Pendaftar Mualaf dan tidak mendapat keizinan beliau sebagai ibu.

Guru tadika itu mengemukakan persoalan sama ada anak ha­sil perkahwinan sivil yang belum mencapai umur 18 tahun mesti mematuhi Seksyen 96(1) dan Seksyen 106(b) enakmen itu sebelum Pendaftar Mualaf boleh mendaf­tarkan pertukaran agama mereka kepada Islam.

Seksyen 96(1) antaranya me­nyatakan seseorang mesti mengucap dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab manakala Seksyen 106(b) menyatakan, kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika mendapat kebenaran bertulis daripada ibu atau bapa atau penjaga.

Hakim Zainun ketika membacakan penghakiman bertulisnya berkata, fakta yang tidak dicabar ialah ketiga-tiga kanak-kanak tersebut tidak hadir di hadapan Pendaftar Mualaf untuk melafazkan dua kalimah Syahadah sebelum sijil berkenaan dikeluarkan.

Oleh yang demikian, Pendaftar Mualaf bertindak di luar bidang kuasa ketika mengeluarkan sijil itu kerana tidak mematuhi peruntukan mandatori Seksyen 96(1).

Hakim Zainun turut menekankan isu kekeluargaan bahawa pendekatan yang membenarkan anak-anak menukar agama tanpa kebenaran kedua-dua ibu bapa dikhuatiri akan menimbulkan kesulitan terhadap proses tumbesaran dan kebajikan mereka.

“Dalam isu yang melibatkan agama dan tumbesaran kanak-kanak, mahkamah memberi pertimbangan paling utama terhadap kebajikan mereka berdasarkan kepada keadaan kes dan keputusan mahkamah tidak bergantung kepada pegangan agama mana-mana pihak,’’ ujar Hakim Zainun.

Dalam hal ini, ujar beliau, oleh kerana hak penjagaan terhadap ketiga-tiganya telah diberikan kepada Indira Gandhi, wanita itu mempunyai pengaruh yang lebih dominan terhadap kehidupan anak-anaknya.

Selain Pengarah Jaipk, pihak responden terdiri daripada Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Indira Gandhi berkata, walaupun gembira dengan keputusan tersebut, dia masih bersedih kerana tidak dapat bertemu Prasana yang diambil daripada jagaan ketika berusia 11 bulan, sedangkan begitu banyak perkara yang ingin dikongsi dengan anak bongsu perempuannya itu.

Baca : Guru tadika dapat kebenaran cabar sijil pertukaran agama

PUTRAJAYA 19 Mei 2016 – Mahkamah Persekutuan akan mendengar tiga persoalan undang-undang berhubung isu pembatalan sijil pertukaran agama tiga anak pasangan berlainan agama hasil perkahwinan sivil seorang mualaf dan bekas isterinya yang beragama Hindu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan guru tadika, M. Indira Gandhi untuk mengemukakan rayuan.

Indira Gandhi merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Disember tahun lalu yang memutuskan bahawa kesahan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka, enam tahun lalu hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Mahkamah Rayuan ketika itu membenarkan rayuan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Mohd. Ridhuan Abdullah serta empat yang lain untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh, Perak yang membatalkan sijil penukaran agama tiga anak pasangan itu, Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa. – UTUSAN ONLINE

Baca : Mahkamah Syariah tentukan agama anak

PUTRAJAYA 30 Dis. 2015 – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa kesahan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka, enam tahun lalu hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi dalam keputusan majoriti berhubung pertikaian antara mualaf itu, Mohd. Ridhuan Abdullah dan bekas isterinya yang bukan beragama Islam berkata, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan perkara-perkara berkaitan agama Islam.

Beliau berkata demikian ketika membenarkan rayuan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Mohd. Ridhuan serta empat yang lain untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh, Perak yang membatalkan sijil penukaran agama tiga anak lelaki itu, Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa.

Keputusan majoriti 2-1 itu dicapai oleh Hakim Balia Yusof bersama-sama Hakim Datuk Dr. Badariah Sahamid manakala penghakiman menentang dibuat oleh Hakim Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer.

Tiada perintah kos dibuat oleh panel tersebut.

Menurut Hakim Balia Yusof, dalam mencapai keputusan tersebut, mahkamah telah mengambil kira peruntukan Seksyen 96 dan 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 berhubung urusan memeluk agama Islam dan Seksyen 50 yang berkaitan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

Kata beliau, mahkamah turut meneliti Seksyen 100 dan 101 enakmen sama berhubung pendaftaran dan perakuan memeluk agama Islam selain hujahan pihak-pihak yang terlibat.

Sementara Hakim Hamid Sultan dalam keputusan menentang pula berkata, perkara berhubung penukaran agama ketiga-tiga kanak-kanak itu adalah semata-mata berkaitan urusan pentadbiran apabila Pendaftar Pertukaran Agama telah bertindak tanpa mematuhi peraturan.

Menurutnya, peraturan menetapkan bahawa seseorang yang ingin memeluk agama Islam mesti membuat permohonan sendiri dan mengangkat sumpah dengan mengucapkan kalimah syahadah, dan bagi kanak-kanak pula mereka memerlukan ke­izinan bapa.

Sedangkan, menurut Hakim Hamid Sultan, dalam kes ini permohonan dibuat oleh bapa kanak-kanak tersebut.

Oleh itu, pada pandangan beliau, penukaran agama ketiga-tiga kanak-kanak tersebut adalah terbatal sejak dari awal lagi.

Selain Pengarah JAIP dan Mohd. Ridhuan yang dahulunya dikenali sebagai K. Pathmanathan, perayu-perayu lain terdiri daripada Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia.

Keenam-enam perayu memfailkan rayuan setelah tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sivil yang membenarkan permohonan ibu kanak-kanak tersebut, M. Indira Gandhi, 40, untuk membatalkan sijil penukaran agama ketiga-tiga anaknya itu dan memutuskan bahawa sijil tersebut adalah tidak sah.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi Mohd. Ridhuan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya itu yang kini masing-masing berusia 18, 17, dan tujuh tahun selepas beliau menukarkan agama mereka kepada Islam.

Mahkamah Tinggi Sivil juga mengisytiharkan bahawa perintah hak penjagaan itu adalah tidak sah dan batal kerana Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi perintah hak penjagaan apabila pihak lain (ibu) bukan beragama Islam.

Peguam, M. Kulasegaran mewakili Indira Gandhi yang merupakan seorang guru tadika berkata, pihaknya akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya itu sama ada untuk merayu terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan.

Mohd. Ridhuan dan anak-anaknya tidak hadir ke mahkamah.

 

Baca : Mahkamah arah dapatkan pandangan pakar

IPOH 6 Jan. 2014 – Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminta guru tadika, M. Indira Gandhi dan bekas suaminya, Muhammad Ridzuan Abdullah mendapatkan pandangan pakar perundangan termasuk persatuan pengamal undang-undang Islam serta Majlis Peguam untuk membantu mereka dalam kes penghinaan mahkamah yang melibatkan hak penjagaan seorang anak.

Indira Gandhi mendapat perintah mahkamah untuk mendakwa Muhammad Ridzuan atau nama sebelum Islam K. Patmanathan, kerana menghina mahkamah setelah gagal menyerahkan anak bongsu mereka, Prasana Diksa (Ummu Habibah), 6, kepada wanita itu yang memenangi kes hak penjagaan anak, selaras dengan perintah mahkamah pada 11 Mac 2010.

Pada prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng meminta kesemua peguam masing-masing mewakili plaintif, Indira Gandhi dan defendan, Muhammad Ridzuan perlu menyertakan pandangan tersebut ke dalam dokumen hujahan bertulis yang mereka perlu sediakan dan menetapkan 7 Februari untuk kedua-duanya bertukar dokumen berkenaan.

Selain itu, katanya pihak berkenaan juga boleh memberi pandangan berhubung sama ada perintah hak jagaan anak oleh Mahkamah Tinggi Syariah boleh dilaksanakan atau sebaliknya ke atas anak yang lahir daripada perkahwinan yang didaftarkan di bawah undang-undang sivil iaitu Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Cerai) 1976.

Pandangan pakar perundangan mengenai sama ada perintah hak penjagaan anak dari mahkamah syariah boleh diketepikan atau sebaliknya jika ibu atau bapa bukan Islam mendapat perintah yang sama dari mahkamah sivil, katanya.

Swee Seng juga menetapkan 14 Februari ini sebagai tarikh prosiding perbicaraan kes penghinaan mahkamah itu dengan memerintahkan Muhammad Ridzuan hadir ke mahkamah dan membawa anak tersebut.

Katanya, kes berkenaan perlu diputuskan sebaik-baiknya memandangkan mahkamah tidak pernah melalui kes seperti itu yang melibatkan hak penjagaan anak selepas ibu atau bapa menukar agama selain perbezaan perintah hak berkenaan di bawah dua mahkamah yang berasingan, iaitu Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Tinggi (Sivil).

Sebelum itu, peguam Hatim Musa yang mewakili Muhammad Ridzuan dalam kes berlainan iaitu kes penukaran agama ketiga-tiga anaknya, memohon untuk memberi pandangan kepada mahkamah hari ini dengan berkata, adalah lebih baik pihak plaintif dan defendan berbincang untuk mencapai persetujuan dalam kes penghinaan mahkamah tersebut.

“Perkara ini melibatkan sensitiviti agama dan kedua-dua pihak juga perlu mengambil kira pandangan ketiga-tiga anak tersebut yang sudah tentu tidak mahu bapa mereka dipenjara. Perspektif anak-anak dan komuniti perlu diambil kira, ia juga adalah isu melibatkan antara agama,” katanya.

Pesuruhjaya Kehakiman kemudiannya memberi tempoh hampir sejam kepada kedua-dua pihak berbincang sebelum meneruskan prosiding hari ini.

Indira Gandhi diwakili peguam Aston Paiva, M. Kulasegaran dan N. Selvam manakala peguam Asmuni Awi dan Mohd. Fitri Asmuni mewakili Muhammad Ridzuan.

Kes pasangan berkenaan pernah mendapat perhatian umum hingga Kabinet pada April 2009 memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agama.

Keputusan itu bagi mengelak individu yang tidak bersalah, terutama anak-anak, menjadi mangsa dan dilayan secara tidak adil.

Pada April 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak penjagaan tiga beradik itu – Abu Bakar (Karan Dinish), Ummu Salamah (Tevi Darsiny) dan Prasana – kepada Muhammad Ridzuan, tetapi pada 11 Mac 2010, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim, memutuskan hak penjagaan tiga beradik itu diserahkan kepada Indira Gandi.

Pada 25 Julai lalu, Swee Seng memutuskan perakuan pengislaman terhadap tiga anak tersebut batal dan tidak sah di samping pertukaran agama yang dibuat Muhammad Ridzuan adalah tidak mengikut peraturan.

Beliau berkata, berdasarkan Enakmen Pentadbiran Islam Perak, ketiga-tiga anak itu perlu mempunyai hasrat untuk memeluk agama Islam tanpa sebarang paksaan, bagaimanapun dalam kes itu, mereka tidak dapat dibuktikan melafazkan dua kalimah syahadah dan mereka serta ibunya tidak hadir ke Pejabat Agama Islam untuk mendaftar bagi tujuan menukar agama. — BERNAMA

Baca : Peguam wakili mualaf buat rayuan

IPOH 26 Julai 2013 – Peguam yang mewakili seorang mualaf berketurunan India, Muhammad Ridzuan Abdullah akan membuat rayuan terhadap keputusan membatalkan pengislaman tiga anak seorang guru tadika, M. Indira Gandhi, dalam tempoh 10 hari.

Peguam berkenaan, Hatim Musa ketika dihubungi Utusan Malaysia, mengesahkan menerima arahan tersebut daripada anak guamnya setelah keputusan mahkamah itu memihak kepada Indira Gandhi.

“Kita sudah pasti akan membuat rayuan kerana melibatkan pembatalan sijil memeluk Islam. Lagipun, kes ini melibatkan kepentingan awam.

“Semalam, anak guam saya ada di sekitar Ipoh tetapi dia tidak sempat hadir ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Lee Swee Seng dalam penghakimannya selama 1 jam 40 minit itu menetapkan Perakuan Memeluk Islam ke atas ketiga-tiga anak Indira Gandhi iaitu Tevi Darsiny, 16, Karan Dinish, 15, dan Prasana Diksa, 5, sebagai terbatal dan tidak sah.

Beliau berkata, pengislaman itu turut tidak mengikut Perlembagaan kerana bertentangan dengan keadilan asasi ekoran pendaftaran itu tidak dilakukan di hadapan Indira Gandhi dan anak-anaknya.

Swee Seng juga menyatakan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 turut mengkehendaki anak-anak Indira Gandhi hadir untuk mengucapkan kalimah syahadah sewaktu pendaftaran pengislaman tersebut dilakukan.

Tambah beliau, di bawah Perkara 3, 5, 11 Perlembagaan Persekutuan; Indira Gandhi mempunyai hak kebebasan dan hak sama rata untuk membesarkan anak-anak dengan didikan amalan agamanya.

Selain itu, beliau turut membuat keputusan itu setelah merujuk kepada Konvensyen Untuk Menghapuskan Diskriminasi Dalam Semua Bentuk Terhadap Wanita (Cedaw) yang telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia.

Sementara itu, salah seorang peguam yang mewakili Indira Gandhi, M. Kulasegaran berkata, beliau berharap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan merayu berhubung keputusan tersebut disebabkan kes berkenaan telah berlarutan selama lima tahun.

“Dua tahun lalu, Peguam Negara pernah membantah apabila kita cuba membawa kepada Mahkamah Persekutuan untuk membuat semakan kehakiman kerana berpendapat Mahkamah Tinggi boleh mengendalikan kes tersebut.

“Oleh itu, kita berharap beliau tidak akan menggunakan kuasanya untuk merayu dalam keputusan kali ini,” katanya.

Baca : Pengislaman tiga anak batal

IPOH 25 Julai 2013 – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan pengislaman tiga anak seorang guru tadika, M. Indira Gandhi, 38, yang telah didaftarkan oleh suaminya, Muhammad Ridzuan Abdullah, 44, seorang mualaf berketurunan India, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Swee Seng dalam penghakimannya selama 1 jam 40 minit itu menetapkan Perakuan Memeluk Islam ke atas Tevi Darsiny, 16, Karan Dinish, 15, dan Prasana Diksa, 5, sebagai terbatal dan tidak sah.

Beliau berkata, pengislaman itu turut tidak mengikut Perlembagaan kerana bertentangan dengan keadilan asasi ekoran pendaftaran itu tidak dilakukan di hadapan Indira Gandhi dan anak-anaknya.

Swee Seng juga menyatakan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 turut mengkehendaki anak-anak Indira Gandhi hadir untuk mengucapkan kalimah syahadah sewaktu pendaftaran pengislaman tersebut dilakukan.

Tambah beliau, di bawah Perkara 3, 5, 11 Perlembagaan Persekutuan; Indira Gandhi mempunyai hak kebebasan dan hak sama rata untuk membesarkan anak-anak dengan didikan amalan agamanya.

Selain itu, beliau turut membuat keputusan itu setelah merujuk kepada Konvensyen Untuk Menghapuskan Diskriminasi Dalam Semua Bentuk Terhadap Wanita (Cedaw) yang telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia.

“Ini bukanlah kemenangan kepada sesiapa, tetapi satu perjuangan untuk hidup secara aman dalam kalangan negara yang mempunyai pelbagai kaum bagi mengamalkan ajaran agama masing-masing,” katanya.

Indira Gandhi dan Muhammad Ridzuan yang pada asalnya beragama Hindu, telah melangsungkan perkahwinan pada 10 April 1993.

Namun pada 11 Mac 2009, Muhammad Ridzuan telah memeluk Islam dan didakwa telah mengislamkan sama ketiga-tiga anaknya di Jabatan Agama Islam Negeri Perak pada 2 April tahun sama.

Pengislaman tersebut telah dibuat tanpa pengetahuan dan kebenaran Indira Gandhi serta kehadiran anak-anak mereka.

Pada 25 Oktober 2009, Indira Gandi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi membatalkan pengislaman anak-anak mereka di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam permohonan tersebut, Indira Gandhi menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perak sebagai responden pertama diikuti oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), kerajaan negeri Perak, Menteri Pendidikan, kerajaan Malaysia dan bekas suaminya, K. Pathmanathan (Muhammad Ridzuan).

Pada 24 April 2009, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) oleh Indira Gandhi untuk mendapatkan hak penjagaan sementara tiga anaknya dan injunksi menghalang bekas suaminya itu daripada memasuki rumah mereka.

Bagaimanapun pada 5 Mei 2009, mahkamah membenarkan permohonan Muhammad Ridzuan untuk menangguhkan perintah hak penjagaan sementara ketiga-tiga anak yang diperoleh Indira Gandhi.

Pada 29 Oktober 2009, Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak itu kepada Muhammad Ridzuan .

Pada 11 Mac 2010, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan hak penjagaan anak bongsunya, Prasana Diksa diserahkan kepada Indira Gandhi.

Pada 1 April 2010, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Muhammad Ridzuan supaya mahkamah menangguhkan perintah hak penjagaan anak bongsunya yang diperoleh oleh Indira Gandhi itu.

Pada 27 November 2012, Muhammad Ridzuan juga gagal dalam usaha untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memerintahkan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya diserahkan kepada Indira Gandhi selepas Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Namun sehingga kini, Muhammad Ridzuan masih tidak memulangkan anak bongsunya itu kepada Indira Gandhi.

Kes itu mendapat perhatian ramai kerana wujud konflik antara bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam menentukan hak penjagaan anak selepas salah seorang pasangan memeluk Islam.

Indira diwakili oleh peguam K. Shanmuga, M. Kulasegaran dan N. Selvam Nadarajah sementara Norazura Mokhtar mewakili responden pertama, kedua dan ketiga dan Muhammad Ridzuan pula diwakili oleh Hatim Musa.

Sementara itu, Indira Gandhi ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, dia berasa cukup gembira dengan keputusan tersebut setelah terpaksa hadir sebanyak 25 kali di mahkamah serta menghadiri 10 sesi perbicaraan penuh di mahkamah.

“Namun, saya masih belum bertemu dengan anak bongsu saya. Kali terakhir saya melihatnya adalah sewaktu perbicaraan di mahkamah pada 2009,” katanya.

Baca : Mualaf gagal merayu berhubung hak penjagaan anak

PUTRAJAYA 27 Nov. 2012 – Seorang mualaf berbangsa India gagal dalam usaha untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak yang memerintahkan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya diserahkan kepada bekas isteri.

Perkara itu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan Muhammad Ridzuan Abdullah, 43, atau nama asalnya, K. Patmanathan untuk mendapat kebenaran merayu.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang bersidang bersama Datuk Hashim Yusoff, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha turut memerintahkan mualaf itu membayar kos RM10,000.

Sementara itu, permohonan semakan kehakiman bekas isterinya, M. Indira Gandhi, 37, untuk membatalkan pengislaman anak-anak mereka, ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Tinggi Ipoh, esok.

Muhammad Ridzuan memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 April lalu yang membatalkan rayuannya selepas permohonan bagi mendapatkan lanjutan masa memfailkan rekod rayuan, ditolak.

Muhammad Ridzuan diwakili oleh peguam-peguam Anas Fauzi, Mohamed Ibrahim Mohamad dan Nik Mohamad Anuar Badiruddeen. Indira Gandhi pula diwakili oleh peguam K. Shanmuga dan Fahri Azzat. – UTUSAN

Comments

comments

Penang Malaysia. Love to eat, travel and share opinion throughout social media.

Leave a Reply

CommentLuv badge