Pembayaran tol secara 100% elektronik di semua plaza tol Lebuhraya PLUS bermula 26 April 2017

image

Bermula 26 April 2017, semua transaksi tol di 71 buah lagi plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan di antara Juru dan Skudai akan dikendalikan secara 100 peratus elektronik. Pelaksanaan ini turut melibatkan semua transaksi tol di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).

Menurut Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail, “Dengan pelaksanaan ini kelak, semua plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS bermula dari Bukit Kayu Hitam di utara hingga Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di selatan dikendalikan secara 100 peratus elektronik.

Ini termasuklah transaksi tol di Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), ELITE, NKVE, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Linkedua.”

Sebelum pelaksanaan peringkat akhir yang melibatkan laluan di antara Plaza Tol Juru hingga Plaza Tol Skudai (71 plaza tol) ini, inisiatif tersebut telah terlebih dahulu berjaya dilaksanakan secara berperingkat sejak 2008 (sila rujuk kronologi yang dilampirkan).

“Ini bermakna, bermula pada 26 April yang akan datang, tiada lagi transaksi secara tunai akan dikendalikan dan pengguna lebuh raya PLUS perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go ataupun SmartTAG,” jelas Azman.

Secara tidak langsung, ia membantu orang ramai melalui plaza tol dan membayar tol dengan lebih mudah, lebih pantas dan lebih selesa.

Menurut Azman, pada ketika ini 87 peratus daripada keseluruhan pengguna lebuh raya PLUS yang menggunakan 71 plaza tol terbabit membayar tol menggunakan sistem elektronik.

Transaksi tol secara elektronik adalah jauh lebih pantas dan selesa berbanding pembayaran tol secara tunai di mana lorong SmartTAG dan Touch ‘n Go mampu mengendalikan kira-kira 1,000 dan 600 transaksi tol satu jam. Manakala Lorong Tunai Keluar pula hanya mampu mengendalikan kira-kira 180 transaksi dalam tempoh yang sama.

“Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai, khususnya yang melalui 71 plaza tol di antara Juru dan Skudai supaya mendapatkan kad elektronik masing-masing,” kata Azman.

image

Kad PLUSMiles boleh diperolehi di semua pusat khidmat pelanggan di sepanjang lebuh raya PLUS yang beroperasi bermula jam 7:00 pagi hingga 10:00 malam setiap hari.

Pelaksanaan transaksi tol 100 peratus elektronik ini juga membolehkan pemegang kad elektronik, khususnya kad PLUSMiles menikmati rebat tol sebanyak 5 peratus apabila menggunakan kad tersebut untuk membayar tol sebanyak RM100 setiap bulan. PLUS juga menasihatkan supaya pemegang kad PLUSMiles yang sedia ada supaya menebus rebat tol mereka di mana-mana Pusat Khidmat Pelanggan di sepanjang lebuh raya PLUS.

Pada ketika ini, terdapat kira-kira 8,900 lokasi tambah nilai kad elektronik di seluruh negara. Ia termasuklah menerusi mesin-mesin ATM, kedai 24-jam dan serbaneka, pusat beli belah, stesen minyak dan lain-lain.

Terdahulu, inisiatif yang sama telah berjaya dilaksanakan di semua plaza tol kendalian PLUS di Bangunan Sultan Iskandar (2008), lebuh raya Linkedua (secara berperingkat sejak 2009), Plaza Tol Kempas (2014), Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau (November 2014), Plaza Tol Mambau dan Lukut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) pada Jun 2015, Plaza Tol Bukit Kayu Hitam dan Jitra (September 2015), Plaza Tol Lunas dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterworth-Kulim (September 2015), plaza tol di Jambatan Pulau Pinang (September 2015) serta Plaza Tol Sungai Dua hingga Hutan Kampung di Lebuhraya Utara-Selatan (November 2016).

Azman berkata demikian pada majlis taklimat pelaksanaan inisiatif tersebut kepada wakil-wakil media di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol (Arah Selatan), hari ini.

Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, YB Dato’ Dr. Noor Azmi Ghazali dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi.

Sumber : Laman Web PLUS

Comments

comments

Penang Malaysia. Love to eat, travel and share opinion throughout social media.

Leave a Reply

CommentLuv badge