Presiden FAM – TMJ lawan Annuar

image

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Persoalan siapa bakal bertanding merebut kerusi panas No.1 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terjawab apabila badan induk tersebut hari ini mengumumkan hanya pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan pencalonan mereka.

Itu bermakna, Tunku Ismail bakal menentang Annuar dalam Kongres FAM Ke-53 yang berlangsung pada 25 Mac ini selepas dua lain calon iaitu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat tidak mengesahkan pencalonan selepas ia ditutup pada pukul 5.30 petang ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengumumkan perkara itu dalam satu sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi bagaimanapun berkata, kedua-dua calon yang sah bertanding masih boleh menarik diri sehingga kongres tersebut berlangsung.

Sementara itu, empat calon sah bertanding jawatan Timbalan Presiden FAM, sembilan calon Naib Presiden FAM, 17 calon Exco (lelaki) dan tujuh calon Exco (wanita). – UTUSAN ONLINE

Comments

comments

Leave a Reply