Salam Aidilfitri 1436H 2015M

Assalamualaikum,

Terlebih dahulu, Alhamdulillah diucapkan kehadirat Ilahi kerana memberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadan Almubarak dan seterusnya dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk tahun 1436H. Tak cukup rasanya bila bersama dengan bulan Ramadan, bulan yang ditunggu – tunggu oleh semua umat Islam untuk beribadat kepadaNYA. Bukan semua orang berpeluang untuk menemui bulan yang sangat barakah ni.

Berakhirnya Ramadan, dipanjatkan syukur kepada Allah kerana berjaya grad daripada Universiti Ramadan dan semoga Allah menerima puasa dan amalan kita semua.

تقبل الله منا ومنكم

Keunikan Syawal tahun ini
Seperti yang hampa semua maklum, Raya tahun ni merupakan Raya yang pertama aku raikan setelah bergelar “suami”. Alhamdulillah, cepat je masa berlalu dah 2 bulan usia perkahwinan kami. Ada dikalangan kawan – kawan aku tanya, kenapa kahwin pada bulan Mei dan kenapa tak nak menikah lepas Raya? Jawapan aku mudah, aku tak nak lepaskan peluang untuk berpuasa dan beraya bersama Isteri pada tahun ni. Kalau menikah lepas Raya, sudah tentu Raya tahun ni beraya dengan status Tunangan orang. Tak ke rasa rugi?

Sebelum kahwin lagi kami dah buat kata sepakat untuk menentukan aturan Raya apabila kami kahwin kelak. Untuk Raya yang pertama selepas bergelar suami isteri, aku beraya di kampong halaman isteri di Dungun, Terengganu. Sebenarnya, perkahwinan ni mudah dan indah kalau masing masing ada persefahaman dan saling tolak ansur. Mudah je, buat apa nak cari susah dan rumitkan keadaan. Oleh kerana selama ni aku dah beraya dengan mak ayah di Pulau Pinang, keputusan untuk beraya di kampong sebelah isteri sangat tepat dan wajar.

Ada pelbagai pendapat yang diutarakan di laman sosial, terutamanya di Facebook dengan “fatwa” dan “undang – undang” cerdik pandai segera yang menyuarakan harusnya pengantin baharu beraya di rumah sebelah suami terlebih dahulu berbanding sebelah isteri, dengan alasan si suami mempunyai tanggungjawab yang tak boleh diabaikan iaitu mengutamakan ibu bapa terlebih dahulu berbanding dengan tanggungjawab kepada isteri.

Ya, aku pun setuju dengan cadangan yang diviralkan di Facebook tu. Sebelum membuat keputusan, aku terlebih dahulu maklumkan plan aku untuk beraya dengan keluarga isteri dan mak ayah pun redha. Tak jadi masalah kerana masing – masing punya pilihan sendiri.
Jadi warga Pantai Timur

Untuk raya tahun ni, aku ambil cuti raya selama 11 hari (termasuk cuti perisitiwa) dan cuti panjang ni memberi peluang aku untuk menyelami kehidupan berpuasa di negeri Terengganu. Aku balik kampung pada 25 Ramadan dan sempat berpuasa di selama 4 hari sebelum hari Raya.

Sebenarnya, aku suka untuk tinggal di negeri Terengganu dan terbuka hati untuk jadi part of warga Pantai Timur yelahkan sebab selama ni lahir dan tinggal di negeri Utara, so gaya hidup orang utara dan timur ni jauh berbeza secara tak langsung budaya pun tak sama. Hehe

Berpuasa di Pantai Timur tak jauh beza dengan di utara, cuma dalam empat hari aku tinggal disana cuaca agak panas terik dan kering tak jauh beza pun macam di Pulau Pinang. Apa yang aku suka, bazaar Ramadan dan kepelbagaian juadah berbuka puasa yang lain dari lain yang tak dapat aku tengok di tempat sendiri.

Aku bekersempatan untuk ke Bazaar Ramadan Sura Gate, Dungun dan Bazaar Ramadan Manir yang besar, ramai peniaga serta dibanjiri oleh ramai orang untuk membeli juadah berbuka puasa! Pelbagai jenis kuih muih yang exotic tak dapat dicari di Pulau Pinang jadi tumpuan aku, serta yang tak boleh lekang dari mulut adalah Nasi berlaukkan ikan aye (ikan kayu) tak kisahlah nasi dagang ataupun nasi lemak. Tak lupa juga Nasi Minyak yang menjadi pooooojaan hatiku!

Kelainan kali ini berbuka puasa dengan saudara ipar buat kali pertama memberikan satu hubungan yang boleh mengeratkan lagi silaturrahim dengan ahli keluarga baharu. Ramadan dijadikan satu jambatan untuk lebih dekat dengan ahli keluarga baharu yang kita perlu masa untuk kenal mengenali

Persiapan Raya

Dua tiga minggu sebelum Raya lagi Isteri dah rancang juadah dan apa yang akan disediakan untuk hari Raya nanti! Begitu terujanya dia nak beraya dan menyambut lebaran dengan si suami. Almaklumlah, selama ini isteri aku hanya beraya dengan adik beradik setelah ketiadaan ibu bapa sejak sekian lama. Masa ini la nak rasa bertapa sibuknya persiapan raya warga Pantai Timur untuk menghadapi lebaran.

Sejak sampai je di kampung, badan tak boleh nak rehat dan santai kerana semua orang maklum yang warga Pantai Timur ni memang sangat rajin dan kerajinan ni terselah dalam gaya hidup depa. Banyak je akitviti yang direncanakan untuk 1 Syawal, daripada mengemas rumah, beli baju raya (yang tak dapat cari lagi sebab tak berkenan), beli bahan mentah untuk masak dan lain lain lagi.

Untuk pertama kali, aku belajar macam mana nak buat lemang dari proses penyediaan buluh, memasukkan beras dalam buluh, masak lemang dan jaga api. Juga, kali pertama aku tolong macam mana nak buat satay! Selain tu, Raya tahun ni disajikan dengan Nasi Briyani yang aku beli di Little India, Georgetown.

Syawal datang lagi

Lepas je pengumuman 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 18hb Julai, kawasan kampung berdekatan dibanjiri oleh dentuman mercun dan bunga api, tanda tamatlah sudah ibadat puasa di bulan Ramadan dan masuknya 1 Syawal yang sangat ditunggu tiba. Suara kanak – kanak menjerit “esok raya” menyerikan suasana malam raya yang sibuk bagi kami sekeluarga.

Malam raya, kami anak beranak bersama – sama menyucuk ayam di lidi untuk buat satay, kemas rumah untuk raya esok hari dan kemudian bakar satay untuk hidangan pagi nanti. Semuanya dibuat pada malam raya, dari jam 12 tengah malam sehinggalah subuh esok pagi. Letih? Ya, letih terasa dan semuanya hilang bila semuanya dah sempurna.

Azan subuh berkumandang, takbir di masjid kedengaran dan baju baru dipakai untuk meraikan kejayaan sebulan berpuasa berperang dengan hawa nafsu serta menunaikan ibadah yang ditetapkan. Untuk tahun pertama, kami memilih warna Merah maroon sebagai penyeri satu syawal. Kelainan solat sunat Aidilfitri di negeri Terengganu adalah bacaan titah Sultan Terengganu sebelum solat, segala titah Sultan dibacakan kepada seluruh Jemaah dan kemudian solat sunat Aidilfitri bersama sama. Lepas salam bersalaman dan bermaaf – maafan, kami semua pakat makan juadah yang disediakan

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah untuk nikmat yang kau berikan. Semoga diberi ksempatan, dipanjangkan umur dan dikekalkan kesihatan untuk bertemu Ramadan dan Syawal tahun hadapan. InsyaAllah

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin dari saya dan Isteri

Bayan Lepas

5 Syawal 1436H
21 Julai 2015

Penang Malaysia. Love to eat, travel and share opinion throughout social media.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge