Sampai bila Gen Y mampu nak beli rumah?

Kebelakangan ni, cerita pasal rumah berlegar-legar di laman sosial. Tambahan pula, turut jadi topik perbualan hangat dikalangan kawan-kawan sekerja. Di tempat kerja, aku lebih bercampur dengan orang yang lebih berumur dariku. Semuanya punya keluarga, anak pun dah besar dan pengalaman kerja yang lama. Aku ni ibarat setahun jagung bila duduk bersembang dengan depa.

Oleh kerana aku je yang tak lagi beli rumah, setiap kali cerita pasal rumah keluar sebagai topik perbualan, maka aku pun dapat tekanan dengan rakan-rakan tentang pentingnya cepat cepat beli rumah.

Luthfi, bila lagi nak beli rumah? Berapa lama lagi nak tunggu. Harga rumah tak tunggu hang

Hakikatnya, siapa je yang tak mahu beli rumah sendiri? Semua orang mahu beli rumah sendiri tapi sama ada mampu atau tidak je.

Realiti harga rumah masa sekarang ni

Sampai hari ni aku tak nampak kesungguhan kerajaan untuk kawal harga rumah untuk terus naik mendadak, toksah cakap pasal kerajaan persekutuan lah, kerajaan negeri yang dok berkokok lebih yang kononnya jadi hero rakyat dan alternatif kepada kerajaan sekarang ni pun tak boleh pakai. Berapa kerat je rumah mampu milik dan bawah RM 200,000 yang ada di pasaran. Rumah kos rendah? Boleh bilang dengan jari. Yang dok ada naik macam cendawan tumbuh selepas hujan tu adalah projek-projek mega dengan harga minimum hampir setengah juta ringgit.

Mana la logik untuk rakyat berpendapatan sederhana dan Gen Y macam aku ni mampu!

Dengan pendapatan aku dan isteri, kami memang tak layak untuk pohon rumah Kos Rendah seperti yang dicanangkan.

Eh Luthfi, tu projek perumahan kerajaan negeri dah bukak. Pi la try apply rumah kos rendah. Ramai aku dok tengok dapat.

Ada je yang terus mengharapkan rumah kos rendah dan asyik asyik nak suruh apply dan tunggu. Helo, ada diantara kawan-kawan aku sampai berbelas-belas tahun tunggu rumah kos rendah dari kerajaan negeri dan depa tak reti nak give up turun naik KOMTAR untuk dapatkan apa yang depa mahu.

Harga rumah di Penang

Semua orang tahu yang nilai hartanah di Pulau Pinang ni antara yang tertinggi di Malaysia. Tengok lah harga rumah – rumah dalam pulau mahal nak arwah. Keadaan sekarang ni memang mustahil boleh beli “rumah atas tanah” di kawasan strategik seperti Bayan Lepas, Gelugor ataupun George Town. Kalau ada pun, hang tak mampu sebab ia bermula dari RM 500,000 keatas berbanding dengan rumah yang bersaiz sama di seberang Perai. Yang ada pun adalah “rumah burung” yang bersusun – susun bertingkat- tingkat tingginya.

Menurut pemerhatian aku, di Pulau, harga rumah mampu milik anggaran 10 tahun yang asalnya RM42,000 kini dah menjadi lebih kurang RM150,000, rumah bersaiz lebih kurang 700 kaki persegi dahulu berharga RM150,000 telah menjadi RM300,000 dan yang lain-lain hang boleh agak sendiri.

Kot mana pun, untuk tinggal di Pulau Pinang flat biasa biasa pun dah berharga ratusan ribu ringgit dan harga ni makin lama makin naik mengikut pasaran semasa!

Berbanding dengan harga di seberang, kawasan yang jadi tumpuan macam Juru, Perai, Butterworth, Bukit Mertajam atau Permatang Pauh je naik mendadak tapi belah kawasan lain harga rumah masih lagi logik dek akal. Boleh dikatakan masih lagi boleh beli “rumah atas tanah” di Seberang Perai, ada banyak pilihan rumah lama ataupun rumah baharu yang bermula dari harga RM 300,000.

Masa aku ni pun dah pening kepala bila tengok harga rumah, tak tahu la pulak apa yang anak cucu aku akan hadapi nanti.

Macam mana Gen Y nak beli rumah?

Aku rasa, majoriti Gen Y di Malaysia ni macam aku. Boleh hidup, berkahwin dan ada kehidupan seperti Gen Y lain diluar sana. Hidup kena up-to-date, rumah dekat hotspot yang ada pelbagai kemudahan dan tempat hiburan, kehidupan dengan pentingnya smartphone dan internet, setiap tahun ada trip percutian dan selalunya membeli atau makan luar daripada masak.

Ada segelintir yang masih lagi tak kesah untuk hidup sederhana dan terus kekal dengan apa yang ada, tak bersaing untuk dapatkan kehidupan yang lebih baik.

Masing-masing sekarang ni ada kereta, terutamanya kereta baharu kurang dari 5 tahun, semestinya masih lagi berhutang dengan bank. Selain tu, duit nak bagi ke mak bapak, duit nak pergi kerja, duit nak guna time weekend dan akhirnya berapa je nak tinggal dan simpan?

Keluar dari kebiasaan

Kalau ada peluang, keluarlah dari kepompong kebiasaan sebagai seorang Gen Y. Tak payah beli kereta baharu, tak perlu nak melancong kerap kerap macam orang lain, simpan duit untuk masa hadapan. Cakap dan pesan kat orang memang mudah tapi diri sendiri nak buat sangat susah!

Dalam kalangan kawan-kawan aku, dalam 30 orang hanya ada sorang dua je yang tak beli kereta lepas belajar dan loan pertama depa adalah loan rumah. Hmm macam-macam benda yang depa tu kena korbankan especially hidup depa tak sama macam orang lain.

Sekarang ni, dia dah boleh menarik nafas lega sebab berjaya beli rumah yang dia mampu dan selesa. Aku? Dari 5 tahun lepas dok bertangguh sampai harini takdak rumah dah terpaksa dok menyewa.

So, kehidupan sebagai Gen Y agak kompetitif berbanding dengan kehidupan Gen X atau mak bapak kita dulu. Realiti semasa harga barangan dah naik, minyak naik dan kebanyakannya dulu merupakan kehendak dah jadi keperluan.

Ukur baju di badan sendiri

Dengan pendapatan sekarang, aku rasa tak mampu nak beli rumah sendiri. Bayangkan lah dengan perbelanjaan rumah pun dah berapa, nak lagi tambah dengan bayaran rumah yang berharga ratus ribu tu? Takkanlah sampai ke tua aku harus sewa rumah orang? Buat masa ni, dah 2 tahun aku keluar dari rumah mak ayah dan tinggal bersama isteri, pengiraan kasar aku lebih kurang RM 13,000 yang telah aku bayar kepada tuan rumah sewa. Alangkah bagusnya kalau aku dapat simpan (agak mustahil) atau bayar untuk rumah sendiri.

Hujah kawan-kawan, kalau aku sendiri mampu untuk menyewa takkan aku tak mampu untuk tambah sikit untuk bayar rumah sendiri? Aku ambil kira apa yang depa katakan. Sedangkan orang lain yang mempunyai gaji yang rendah dari aku pun boleh beli dua tiga buah rumah takkan aku tak boleh? Itu apa yang aku fikirkan.

Apa yang bermain di fikiran adalah macam mana kita nak dapat semua benda dalam masa yang sama? Jawapannya adalah tak boleh sama sekali!

  1. Nak rumah landed, kena keluar dari Pulau sebab harga dah gila-gila mahal. Memang tak mampu. Rumah selesa, kena berulang alik jauh sikit ke tempat kerja.
  2. Nak rumah dekat dengan tempat kerja, kena beli rumah yang mahal. Tak ada pilihan lain. Rumah dekat bayar pun kena lebih

So, untuk kekal duduk di Pulau, antara rumah baru vs rumah second hand vs kemampuan, dah boleh tengok dan nilaikan sendiri.

Comments

comments

Leave a Reply