Seri Paduka zahir rasa dukacita

SULTAN MUHAMMAD V memeriksa kawalan kehormat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/JEFFRI IRAN

KUALA LUMPUR 6 Mac – Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V menzahirkan rasa dukacita kerana kegiatan penyelewengan, ketirisan, rasuah dan pembocoran maklumat kerajaan melibatkan penjawat awam dan bekas kakitangan kerajaan masih berlaku di negara ini.

Seri Paduka bertitah, perbuatan itu boleh menghakis keyakinan rakyat, justeru tindakan membawa individu-individu yang terlibat ke muka pengadilan adalah dialu-alukan.

“Rakyat juga perlu memberi so­kongan dengan tidak terlibat sebagai pemberi rasuah atau memiliki dokumen terperingkat tanpa kebenaran,” titah Seri Paduka ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

Sultan Muhammad V turut menyokong segala inisiatif yang dilaksanakan kerajaan agar sebarang unsur penghinaan terhadap Islam dan institusinya di negara ini ditangani dengan penuh kebijaksanaan serta ketegasan.

Seri Paduka bertitah, langkah-langkah yang diambil dalam me­nangani penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam me­lalui media massa dan laman web perlu terus dipertingkatkan termasuk meneruskan pemerkasaan undang-undang pentadbiran Islam.

“Pada masa sama, kesepakatan pemimpin-pemimpin Islam utama di negara ini adalah suatu yang amat baik dan dialu-alukan sebagaimana dalam menangani isu minoriti Rohingya di Myanmar,” titah Seri Paduka.

Dalam perkembangan berkai­tan, Sultan Muhammad V bertitah, usaha kerajaan menganjur­kan Sesi Tergempar Majlis Men­teri-Menteri Luar Pertubuhan Ker­jasama Islam (OIC) di ibu negara pada 19 Januari lalu bukan bermakna Malaysia mencampuri urusan dalaman sesebuah negara.

“Sebaliknya, itu konsisten de­ngan dasar negara sepertimana penentangan Malaysia terhadap kekejaman dan penindasan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin sebagai membantu saudara se­sama Islam sedunia,” titah Seri Pa­duka.

Dalam pada itu, Seri Paduka mengingatkan semua pihak agar jangan cepat berpuas hati de­ngan usaha-usaha memupuk perpaduan yang telah dilaksanakan kerajaan.

“Adalah tidak salah untuk kita berbeza pendapat, namun gunakanlah saluran yang be­tul, secara berhemah serta tanpa perlu melibatkan pihak luar mencampuri urusan dalaman negara,” titah Seri Paduka.

Sultan Muhammad V turut menzahirkan perasaan su­kacita atas lawatan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malay­sia minggu lalu dan Seri Paduka menyifatkan kunjungan ba­ginda yang juga Penjaga Dua Masjid Suci telah memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Penang Malaysia. Love to eat, travel and share opinion throughout social media.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge