Sultan Muhammad V, Kelantan lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke 15

image

(Utusan) KUALA LUMPUR 13 Dis. – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini me­lafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-dua baginda dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-243 (Khas) di Istana Negara, 14 Oktober lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Sultan Muhammad V, 47, menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh peme­rintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 semalam.

image

Upacara di balairung seri hari ini bermula dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sum­pah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh kedua-dua Seri Paduka Baginda.

Mesyuarat Khas itu dipenge­rusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Memulakan istiadat, Penyim­pan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad tampil menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Muhammad V yang kemudian­nya melafazkan Sumpah Jawatan sebelum menandatanganinya.

image

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu, Sultan Mi­zan Zainal Abidin dan Raja Per­lis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin yang kemudiannya melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatanganinya.

image

Surat Sumpah Jawatan bagin­da turut ditandatangani oleh Sultan Mizan dan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi.

Selesai istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak.

Acara di balairung seri kemudiannya diteruskan dengan istiadat menandatangani per­isytiharan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.

image

Memulakan istiadat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diapit Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Md Tajri Alwi dan penolongnya Azuan Effendy Zairakithnaini menghadap dan menyembahkan Surat-surat Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Najib kemudian membaca perisytiharan bahawa Sultan Muhammad V telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 manakala Sultan Nazrin pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

image

Upacara penuh istiadat yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Semua sembilan Raja-Raja Melayu atau wakil-wakil bagin­da serta tiga Yang Dipertua Negeri hadir pada upacara ber­kenaan, kecuali Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang diwakili Speaker Dewan Undangan Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Na­s­­sar.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, menteri-menteri Kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan.

Setelah selesai upacara di balairung seri, Najib menge­tuai upacara menghadap diikuti menteri-menteri Kabinet serta orang kenamaan. – BERNAMA

Comments

comments

Leave a Reply