Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri ke 8


Muhyiddin angkat sumpah Perdana Menteri Kelapan


KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada jam 10.33 pagi.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai Perdana Menteri interim setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari lalu.

Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Muhyiddin, 72, yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman

Setelah membaca ikrar angkat sumpah jawatan di hadapan baginda, Muhyiddin kemudian menandatangani dokumen berkenaan.

Ia disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Antara pemimpin politik yang hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - BERNAMA


Muhyiddin Yassin dilantik PM ke-8

(Astro Awani) KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda berpandangan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Keputusan itu dicapai selepas ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat bebas mengemukakan nama calon Perdana Menteri kepada Agong.

"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 (Ahad) jam 10.30 pagi di Istana Negara," memetik kenyataan itu.

Ahmad Fadil menambah, Agong bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.

"Seri Paduka Baginda bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir," katanya.

Baginda pada masa sama turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat khususnya agensi-agensi kerajaan, keselamatan dan pihak media.

Luthfi Suib

No comments:

Post a Comment