Wednesday, June 25, 2008

Starbucks dibenar beroperasi di IPTA

PUTRAJAYA 25 Jun – Kementerian Pengajian Tinggi hari ini memberi kebenaran kepada syarikat francais seperti Starbucks, Kopitiam dan Dunkin Donuts membuka premis mereka di pusat pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, selain perlu mendapatkan kebenaran daripada naib-naib canselor universiti berkenaan, kafe-kafe francais tersebut juga perlu menyediakan perkhidmatan jalur lebar Wi-Fi untuk kemudahan pelajar.

Katanya, walaupun terdapat IPTA yang sudah menyediakan perkhidmatan Wi-Fi, namun ia masih belum dilakukan secara menyeluruh.

Menurut beliau lagi, ramai penuntut universiti yang sanggup keluar kampus untuk mengunjungi kafe Starbucks di bandar sambil melakukan tugasan mereka.

``Saya terfikir kenapa tidak kita bawa Starbucks ke universiti, usaha ini boleh menggalakkan mereka melakukan perbincangan di kafe yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi.

``Saya tidak nampak ada halangan atau masalah yang akan timbul tetapi ia mesti dibuat di pusat pelajar, tambahan pula, banyak syarikat yang bersedia menawarkan perkhidmatan itu di universiti,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Pengetua, Kolej Kediaman IPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali.- Utusan.


Komen: Baguslah kalau macam ni, senangla kita sebagai pelajar ipta dapat kemudahan. Tapi, pasal harga jangan cekik darah sangat!

0 Komen:

Post a Comment