Sunday, January 22, 2017

Kedah juara Piala Sumbangsih 2017

image

JOHOR BAHRU 20 Jan. - KEDAH melaungkan amaran awal mereka bakal menjadi pencabar utama Liga Super 2017 selepas memenangi perlawanan Sumbangsih dengan menumpaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti di Larkin, hari ini.

Turun sebagai juara Piala Malaysia, skuad Lang Merah mengikat 10 pemain JDT 1-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, sebelum menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah menerusi penentuan sepakan penalti 5-4.

Kegagalan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun berturut-turut memberi permulaan sumbang buat pe­ngendali baharu JDT, Benjamin Mora.

Skuad Harimau Selatan me­mulakan kempen dengan langkah kanan selepas mendahului 1-0 menerusi sepakan penalti ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-39.

JDT dihadiahkan penalti selepas pemain import mereka, Brian Federico Ferreira dikasari dalam kawasan penalti.

Safiq tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti dengan melakukan rembatan leret ke penjuru kanan gawang bagi mengatasi penjaga gol Abd. Hadi Abdul Hamid.


Bagaimanapun keceriaan tuan rumah tidak bertahan lama selepas pemain mereka, S. Kunanlan dibuang padang pada waktu kecederaan babak pertama gara-gara mengkasari Mohd. Fakri Saarani di luar kotak pe­nalti.

Berdepan 10 pemain lawan memberi peluang kepada Lang Merah untuk mendominasi permainan.

Selepas mengatur asakan bertali arus, Kedah berjaya me­nyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi rembatan lencong kapten Baddrol Bakhtiar dari luar kotak penalti.


Ini adalah kejuaraan Sumbangsih ketiga yang dimenangi Kedah selepas 1994 dan 1991, sekali gus menjadikan mereka calon untuk mencabar kejuaraan liga musim ini.

Malah, Kedah yang dibim­bing jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe menunjukkan peningkatan hebat pada hujung musim lalu apabila menamatkan kempen di tangga ketiga, sebelum menutup saingan dengan mengalahkan Selangor dalam final Piala Malaysia.

Bagi JDT, saingan musim baharu pasti lebih mencabar, terutama dengan menampilkan jurulatih baharu, Mora. Mereka bagaimanapun bermula dengan berkongsi satu mata liga. - UTUSAN ONLINE





0 Komen:

Post a Comment