Wednesday, February 15, 2017

5 langkah hindari risiko bayi lemas ketika tidur

image

 

Tentu anda pernah terbaca atau tahu mana-mana kisah melibatkan kematian bayi ketika tidur. Biasanya ia berlaku di kalangan bayi berusia sebulan hingga 12 bulan.

Walaupun sehingga sekarang tidak diketahui apa punca ‘Sudden Infant Death Syndrome’ (SIDS) ata sindrom kematian mengejut bayi tetapi sebagai ibu bapa, kita mestilah membuat langkah berjaga-jaga bagi mengelakkannya.

Kadangkala tanpa disedari ada perbuatan sesetengah ibu bapa boleh meningkatkan risiko bayi mengalami kejadian SIDS.

Di harap garis panduan mudah berikut dapat dipatuhi oleh ibu bapa bagi mengelakkan kemalangan ini daripada berlaku.

1. Jangan letak patung haiwan dalam katil bayi

Anda mungkin teruja untuk menghias katil bayi dengan pelbagai 'teddy bear’ dan patung-patung haiwan yang kecil dan comel. Tetapi sebenarnya ia mendedahkan bayi kepada bahaya. Pakar memberitahu yang mainan lembut seperti haiwan, bantal dan cadar boleh mewujudkan satu halangan sekitar hidung dan mulut bayi, dan boleh menyekat keupayaan mereka untuk bernafas. Jauhkan segala permainan patung lembut tersebut daripada katil bayi anda sampai mereka besar.

2. Gunakan permukaan rata untuk bayi tidur

Jangan tidurkan bayi di atas tilam yang terlalu empuk dan lembut. Menurut pakar, ia boleh menjadi bahaya kerana akan mewujudkan 'saku’ yang menghalang pernafasan bayi.

3. Pantau suhu bayi

Pakaikan bayi pakaian yang sesuai mengikut cuaca. Jangan pakaikan baju yang terlalu tebal dan berlapis atau terlalu nipis pada bayi. Bayi tidak sama seperti orang dewasa. Perhatikan keadaan bayi anda. Jika bayi berpeluh atau dadanya agak panas bila disentuh, itu petunjuk dia terlampau panas.

4. Jangan letak selimut di katil bayi

Jangan pakaikan bayi anda selimut. Jika risau bayi akan sejuk, elak guna pendingin hawa atau perlahankan suhunya jika mahu menggunakannya. Anda boleh juga memakaikan bayi pakaian yang tebal dan menutup seluruh badannya tetapi jangan sampai dia terlalu panas dan berpeluh pula.

5. Tidurkan bayi secara terlentang

Menidurkan bayi dalam posisi terlentang tanpa bantal dan selimut adalah cara tidur paling selamat menurut American Academy of Pediatrics. Posisi ini sesuai untuk bayi baru lahir sehingga berusia setahun barulah mereka boleh tidur dalam posisi yang lain.

Sumber : Majalah PaMa

0 Komen:

Post a Comment