Sunday, April 23, 2017

Istiadat Pertabalan Agong Julang Sistem Raja Berpelembagaan

Oleh Rhoma Ahmad Razali dan Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Istiadat pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang bakal berlangsung dengan penuh adat istiadat Raja-raja Melayu pada 24 April ini akan mengangkat darjat institusi Yang di-Pertuan Agong ke tahap yang lebih tinggi dan sekali gus mencerminkan sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di negara ini terus dijulang.

Selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Dis lalu, pada 24 April ini iaitu bersamaan dengan hari kebesaran Islam Israk dan Mikraj, Sultan Muhammad V akan ditabalkan sebagai ketua utama negara pada satu acara gilang gemilang mengikut warisan Kesultanan Melayu.

Berikut adalah temu ramah eksklusif Bernama bersama Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Istiadat, Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini yang berkongsi kepentingan istiadat pertabalan itu kepada negara dan persiapannya.

Soalan: Sempena istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April ini, setakat mana persiapan yang telah dilakukan oleh pihak Istana Negara?

Azuan Effendy: Untuk istiadat kali ini kita telah membuat persiapan sejak lima atau enam bulan yang lalu dan sehingga ke hari ini pun kita masih lagi mengadakan persiapan.

Ia bukan hanya dari segi logistik, tetapi juga dari segi aturan istiadat dan kerja-kerja mencantikkan bangunan Istana Negara di mana kita melakukan sedikit pemulihan. Kita perkemaskan apa-apa yang tidak sesuai termasuk menukar langsir dan permaidani.

Istiadat pertabalan ini bagi saya adalah satu acara kebesaran yang utama dalam negara yang kita amalkan mengikut turutan pusingan, sekali pada setiap lima tahun.

Sama juga seperti kita meraikan hari kebesaran seperti Hari Raya Aidilfitri, kita akan membeli baju baharu, menukar langsir dan permaidani dan kita memastikan rumah kita bersih.

Jadi dalam soal istiadat pertabalan ini tidak jauh bezanya dengan sambutan Hari Raya. Cuma istiadat pertabalan ini kita melihatnya dalam konteks berbeza, dalam konteks kenegaraan.

Kalau Hari Raya itu hari kebesaran umat Islam dan persiapan itu dilakukan di peringkat keluarga kita, istiadat pertabalan ini ialah hari kebesaran negara dan tentulah persiapan itu dibuat di peringkat kerajaan dan negara dan banyak persiapan rapi yang perlu dibuat.

Selalu saya tekankan kepada rakan-rakan di Istana Negara dan petugas-petugas lain yang terlibat bahawa siapa pun kita dan apa pun tugas kita, kita adalah orang yang penting dalam setiap istiadat pertabalan.

Kalaupun tugas kita ialah mengecat dinding Istana Negara, kita juga memainkan peranan yang penting kerana kalau dinding itu tidak dicat tentulah ia mencacatkan pemandangan tetamu yang hadir ke Istana Negara untuk istiadat pertabalan.

Soalan: Apakah prosedur dan tatacara istiadat pertabalan? Apa bezanya istiadat pertabalan ini dengan istiadat pemasyhuran dan mengangkat sumpah jawatan yang diadakan pada Disember lepas. Adakah ia terkandung dalam Perlembagaan Negara atau ada sebarang ketetapan oleh Majlis Raja-Raja mengenai perjalanannya?

Azuan Effendy: Istiadat pertabalan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 telah diperkenankan oleh Baginda Tuanku jatuh pada 24 April 2017 dan telah dipersetujui oleh kerajaan. Sebenarnya baginda memilih sendiri tarikh ini setelah mendapat nasihat daripada ulama-ulama dan para mufti.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa tarikh ini juga merupakan tarikh kebesaran Islam iaitu ia jatuh pada tarikh Israq dan Mikraj. Ia memberikan kenyataan penuh bermakna bahawa tarikh ini penting bukan hanya bagi baginda tetapi juga bagi negara.

Mengenai perbezaannya kedua-dua istiadat itu, istiadat mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan yang telah diadakan pada 13 Dis. 2016 adalah untuk memenuhi keperluan Artikel 32 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong itu ialah kepala utama negara yang mengatasi segala orang lain dalam persekutuan. Artikel ini juga mengukuhkan dan memberi legitimasi kepada kedudukan Agong sebagai ketua negara.

Artikel 37 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa 'Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan fungsinya perlu mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Bahagian 1 Jadual keempat (dalam Perlembagaan Persekutuan).

Kita rujuk pada Bahagian 1 Jadual 4, ia melampirkan sumpah jawatan yang perlu diambil oleh setiap Yang di-Pertuan Agong di mana setiap Agong perlu menzahirkan kalimah 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi', dan intipati dalam sumpah ini mempunyai empat perkara teras.

Iaitu, yang pertama Yang di-Pertuan Agong perlu mengikut undang-undang sedia ada dan yang akan datang. Yang keduanya, baginda haruslah menegakkan kedaulatan udang-undang. Ketiga, baginda hendaklah menjalankan pemerintahan dengan adil dan amanah dan yang keempat baginda hendaklah memelihara agama Islam.

Ini terkandung dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Manakala istiadat pertabalan ini, akan mengukuhkan lagi kedudukan Tuanku dalam satu adat istiadat pertabalan yang penuh gilang-gemilang mengikut warisan kesultanan Melayu kita.

Istiadat pertabalan ini juga bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia bahawa kita telah ada Agong yang baharu dan dunia tahu bahawa kita mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan dan raja adalah ketua negara kita dan bagi tempoh lima tahun yang akan datang ini, Sultan Muhammad V akan jadi peneraju kepada negara kita.

Itulah sebab kita mengadakan istiadat pertabalan.

Soalan: Apa kelainan dan keunikan istiadat pertabalan kali ini berbanding istiadat pertabalan yang pernah dilaksanakan sebelum ini?

Azuan Effendy: Satu perkara yang penting setiap kali diadakan istiadat pertabalan ini adalah untuk mengekalkan warisan adat istiadat Kesultanan Melayu. Walaupun kita telah menyelusuri kemodenan tetapi ada perkara-perkara yang menjadi tunjang negara dan bangsa kita, tradisi itu tidak harus ditinggalkan.

Sebab itu bagi saya, istiadat pertabalan ini harus mengekalkan elemen-elemen teras adat secara tertib yang telah kita amalkan sejak pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman sehingga Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Jadi elemen-elemen penting dalam pertabalan ini termasuk bagaimana Yang di-Pertuan Agong akan berangkat masuk ke dalam Balairong Seri sambil disertai dengan pembawa alat-alat kebesaran diraja, ini adalah satu elemen penting yang menyatakan Agong itu adalah ketua negara dan kedudukannya dimuliakan, diberi kedudukan lebih tinggi dari rakyat biasa dan alat kebesaran diraja inilah memberi kegemilangan kepada kedudukan Tuanku.

Disusuli oleh tiupan Nafiri, Tuanku akan berangkat dengan memakai persalinanan pakaian istiadat yang dipanggil Muskat, Tengkolok Diraja, Pending Diraja, semua elemen penting yang diamalkan dari istiadat pertabalan yang pertama hinggalah kini.

Sepanjang istiadat pertabalan itu nanti, Datuk Paduka Maharajalela akan menyembahkan al-Quran kepada Yang di-Pertuan Agong. Saya percaya kita harus mengekalkan perkara ini kerana ia memberikan satu simbol jelas bahawa kedudukan Agong itu selain sebagai ketua negara, tetapi fungsinya juga pelbagai.

Seorang Yang di-Pertuan Agong itu juga merupakan ketua agama Islam bagi Persekutan dan negeri-negeri tidak beraja, pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia dan Agong juga seorang ketua negera yang perlu memastikan negara kita dalam keadaan aman sentosa.

Kedudukannya juga yang tidak berpihak.

Kedudukan baginda juga selalu kita sebut 'Tuanku umpama payung negara tempat rakyat tumpang berteduh'. Jadi Yang di-Pertuan Agong berada di atas, dan rakyat tumpang berteduh di bawahnya.

Selalu kita tertumpu kepada kuasa eksekutif, tetapi kita perlu ingat kuasa tertinggi ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong, yang paling tinggi dalam negara kita. Elemen tradisi dan warisan ini akan terus dikekalkan dan akan terus kita laksanakan dalam istiadat pertabalan.
Ada kelainan dalam istiadat pertabalan kali ini seperti yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V, iaitu di mana lazimnya kita ada kumpulan Nobat yang akan terlibat dalam istiadat pertabalan, tetapi kali ini kumpulan yang telah diperkenankan dipanggil Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan.

Tidak jauh beza dengan kumpulan Nobat tetapi pasukan gendang ini ialah pasukan alat muzik tradisional yang akan terlibat dalam istiadat rasmi yang diadakan di Istana Kelantan.

Mereka ini kita bawa ke Kuala lumpur dan terlibat secara langsung dalam istiadat pertabalan.

Pasukan ini asalnya terdiri daripada pasukan gendang diraja turun temurun yang mungkin bapa atau nenda atau datuk mereka pernah bermain alat muzik ini.

Ada beberapa pantang larang untuk bermain gendang ini kerana ia hanya akan dimainkan atas perkenan Tuanku, kedua hanya dimainkan untuk istadat tertentu dan apabila hendak mainkan alat muzik tersebut hendaklah berpakaian sopan.

Ini merupakan satu elemen penting yang akan meninggikan lagi darjat dan daulat Tuanku sebagai ketua negara apabila istiadat pertabalan itu dilaksanakan.

Soalan: Adakah terdapat saat-saat tertentu yang dinanti-nantikan pada istiadat pertabalan?

Azuan Effendy: Satu lagi perkara menarik dalam istiadat pertabalan ini yang boleh dikatakan klimaks pada istiadat pertabalan adalah apabila Datuk Paduka Maharaja Lela menyembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Keris Panjang Diraja yang juga dipanggil Keris Kerajaan.
Keris ini adalah satu simbol kuasa dan lazimnya setelah keris itu dipersembahkan kepada Agong, Tuanku akan membuka sarungnya dan kemudian mengucupnya atau menjunjung keris itu di atas dahi.

Ia simbolik memberikan maksud bahawa seseorang raja itu bersedia untuk memikul amanah sebagai ketua negara yang bergelar Yang di-Pertuan Agong.

Keris itu sebenarnya mempunyai ciri-ciri unik di mana dari hulu hingga ke sarungnya berbalut dengan emas dan di atas sampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang sebelas Negeri-Negeri Tanah Melayu.

Mata keris ditempa daripada besi waja yang diambil daripada 11 bilah keris negeri-negeri itu yang dileburkan dan dikesenambungkan menjadi sebilah keris panjang kerajaan.

Saya tak melihat dari sudut magis atau mistik. Tetapi saya lihat apabila besi dari 11 keris seluruh negara dileburkan bersama, ia menunjukkan bagaimana pemusatan kuasa itu diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Besi-besi ini menggambarkan elemen yang datang dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, dileburkan dalam satu acuan dan dilahirkan dalam satu bentuk sebagai Keris Panjang Diraja yang menjadi simbol kuasa bagi Yang di-Pertuan Agong. Ia juga telah digunakan sejak pertabalan Yang di-Pertuan Agong pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman.

Soalan: Pelbagai jenis pakaian istiadat dan alat kebesaran diraja antara yang akan menjadi perhatian dalam istiadat pertabalan ini yang menjadi lambang ketinggian darjat institusi Yang di-Pertuan Agong. Apakah alat-alat kebesaran tersebut?

Azuan Effendy: Elemen alat-alat kebesaran diraja ini kebanyakkannya diperturunkan dari seorang Yang di-Pertuan Agong kepada Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya selepas tamat tempoh pemerintahan.

Ini sesuatu yang menarik yang menggambarkan bagaimana kesepakatan raja-raja kita dalam satu sistem yang begitu unik yang tidak pernah diamalkan oleh mana-mana negara di dunia ini yang kita panggil the rotating monarchy...sistem pemilihan Agong secara bergilir-gilir.
Bukan hanya dilihat dari aspek menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong tetapi juga dari aspek pewarisan alat-alat kebesaran diraja. Seperti Keris Panjang Diraja, Keris Pendek Diraja, Pending, Cogan Alam dan Cokmar - semuanya dijaga dan dipelihara oleh institusi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dan akan diturunkan kepada Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

Ada beberapa alat kebesaran dan persalinan istiadat.

Pertama sekali 'Muskat', ia adalah pakaian istiadat yang hanya dipakai oleh Tuanku untuk istiadat tertentu, contohnya pertabalan, keputeraan, pembukaan penggal Parlimen dan lawatan rasmi Tuanku ke luar negara.

Muskat ini bukan dipakai dari Yang di-Pertuan Agong yang pertama tetapi ia mula dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong yang ketiga iaitu Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail. Pakaian ini diilham oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Ia dinamakan Muskat kerana seni tradisi corak itu diinspirasikan daripada pakaian tradisi yang dipakai oleh masyarakat di Oman. Ibu negara Oman itu pula adalah Muscat jadi nama Muskat itu diambil daripada nama ibu negera Oman itu.
Walaupun diilhamkan daripada pakaian tradisi rakyat Oman, Muskat tidak direka bulat-bulat mengikut apa yang dipakai di sana, tetapi kita ikut juga pakaian baju sikap di Negeri Kedah, kita adunkan baju corak di Muskat itu dengan baju sikap di Kedah.

Selain itu, pakaian istiadat lain adalah Tengkolok Diraja. Tengkolok ini akan dibuat mengikut saiz ulu (kepala) Tuanku. Lilitannya atau dipanggil solek dinamakan 'Dendam Tak Sudah' yang berasal dari Negeri Sembilan.

Di tengah di hadapannya dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan di tengah-tengah bintang terletak lambang Kerajaan Malaysia.

Pending pula terdiri daripada kain songket yang ditengah-tengahnya diletakkan pending diraja.

Ia diperturunkan daripada satu Agong ke Agong yang seterusnya dan diperbuat daripada emas dan dihiasi dengan batu-batu delima iaitu sebanyak 11 batu semuanya yang menggambarkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia.

Ditengahnya pula terdapat jata Kerajaan Persekutuan. Tuanku juga memiliki Keris Pendek Diraja yang dipakai di Pending.

Cogan alam pula terdiri daripada tongkat dan di atasnya terdapat bentuk sfera yang ditanggung boleh empat ekor harimau. Ini menunjukkan kegagahan harimau mempertahankan negara. Terdapat bulan dan bintang di atasnya yang menggambarkan agama Islam itu sebagai teras di negara ini.

Sebab itu walaupun saya cakap kita muliakan kedudukan Yang di-Pertuan Agong itu, tetapi kita muliakan baginda bersandarkan kepada keterikatan Agong dengan agama Islam, sebab jika dilihat pada Singgahsana di Istana Negara, di bahagian belakangnya terdapat sepotong ayat al-Quran yang sangat penting iaitu dari Surah al-Imran ayat 26 dan 27, yang membawa maksud 'Sesungguhnya Allah menaikkan darjat seseorang yang dikehendaki-Nya, dan Allah boleh menghina seseorang yang dihendaki-Nya, sesunguhnya kekuasaan itu kepada Allah, dan diberikan kepada orang yang dikehendaki'.

Jadi walaupun kita kata kedudukan Agong itu tinggi, tetapi ianya haruslah mengikut al-Quran dan Sunnah. Jadi kedudukan Agong bersandarkan kepada keterikatan terhadap kekuatan agama Islam dan Agong sebagai ketua agama Islam.

Soalan: Bagaimana istiadat pertabalan ini mengangkat institusi beraja dan Yang di-Pertuan Agong selain memaparkan sistem raja berpelembagaan yang diamalkan negara ini?

Azuan Effendy: Istiadat ini penting untuk mengukuhkan kesetiaan kita kepada sistem yang telah lama diamalkan, iaitu sistem Raja Berpelembagaan.

Ianya menunjukkan bagaimana rakyat mengangkat tinggi kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Yang di-Pertuan Agong juga harus dilihat sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap perpaduan rakyat, bertanggungjawab terhadap kegemilangan negara dan kedaulatan rakyat.
Kedudukan raja dan rakyat ini umpama sepohon pokok di mana raja umpama pohon dan rakyat akar, tentulah pohon tidak berupaya hidup tanpa akar dan akar perlukan pohon untuk mengukuhkan kedudukannya. Jadi ini satu hubungan simbiosis di mana raja memerlukan rakyat dan rakyat memerlukan raja sebagai tempat berlindung.

Inilah yang perlu anak-anak muda fahami bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong, institusi Raja-raja Melayu ini perlu dipertahankan kerana sejak kemerdekaan negara sampai sekarang, kita telah ada dalam institusi ini dengan acuan kita, kita berasa selesa dengan sistem ini.

Rakyat boleh hidup aman damai dengan sistem ini tanpa kekacauan atau haru-biru kerana kita percaya bahawa kita mempunyai seorang raja berdaulat yang merupakan pemerintah tertinggi negara kita bergelar Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat pertabalan ini sebenarnya bukan hanya diamalkan negara kita sahaja, negara-negara lain yang mengamalkan sistem beraja atau monarki juga mengamalkan istiadat pertabalan.

Tentunya istiadat pertabalan itu bagi mengukuhkan kedudukan raja di dalam sistem yang diamalkan di negara mereka, sama juga di negara kita. Jadi barulah kita faham bahawa apabila kita melihat istiadat pertabalan ini, kedudukan Agong itu dimuliakan dan diberi kedudukan yang tinggi oleh rakyat.

Soalan: Memandangkan istiadat pertabalan ini merupakan acara kebesaran negara dan diadakan sekali dalam lima tahun, mungkinkah mereka yang terlibat menjayakannya dianggap bertuah?

Azuan Effendy: Betul. Inilah yang selalu saya tekankan kepada petugas-petugas di Istana Negara bahawa sebenarnya tidak ramai yang berpeluang untuk terlibat secara langsung kerana istiadat pertabalan ini diadakan setiap lima tahun sekali dan tentulah ia diadakan di Istana Negara di mana tidak semua orang boleh datang dan terlibat.

Jadi siapa yang terlibat ini sebenarnya harus mengambil kesempatan sebaik mungkin, kerana semua yang terlibat termasuk wartawan adalah sebahagian daripada sejarah yang mungkin boleh diceritakan pengalaman itu kepada anak cucu masing-masing suatu hari nanti.

Inilah yang saya sampaikan kepada petugas-petugas di Istana Negara.

Kita kena ingat bahawa tugas kita dalam istiadat pertabalan ini adalah peranan yang cukup besar dalam satu istiadat yang cukup bersejarah dalam negara dan kita menjadi sebahagian daripada lembaran sejarah negara yang selama ini hanya pernah berlaku sebanyak 14 kali sahaja dan ia akan berlangsung kali ke-15.

Kita tidak tahu sama ada kita berpeluang untuk terlibat pada istiadat yang seterusnya nanti, jadi gunakan peluang keemasan ini untuk terlibat melaksanakan tugas masing-masing sebaik mungkin.

Soalan: Pelbagai acara akan dilaksanakan sempena istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 ini. Apakah acara-acara tersebut dan apakah signifikan setiap acara itu diadakan?

Azuan Effendy: Acara pertama yang akan dijalankan ialah pada 20 April ini iaitu pada hari Khamis di mana Majlis Bacaan Yassin, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15. Acara ini akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya.

Memang lazimnya acara ini diadakan di Masjid Negara tetapi tahun ini ia tidak dapat dilaksanakan di situ kerana masjid tersebut sedang dilakukan kerja-kerja penambahbaikkan. Jadi acara ini dibuat di Masjid Putra dan semua rakyat dijemput hadir.

Acaranya akan bermula dengan Solat Maghrib secara berjemaah, kemudian bacaan Yassin, doa selamat, solat Hajat dan solat Isyak. Yang di-Pertuan Agong turut akan berangkat dan akan bertemu dengan rakyat jelata pada acara itu.
Selepas itu kemuncak acara adalah pada hari pertabalan dilangsungkan iaitu pada sebelah pagi 24 April di Istana Negara. Tentulah ini tidak terbuka kepada semua rakyat jelata dan terhad kepada jemputan sahaja.

Tapi saya rasa rakyat boleh menjadi sebahagian daripada sejarah kerana kerajaan telah mengisytiharkan 24 April ini sebagai cuti umum, rakyat boleh berada di tepi-tepi jalan melambai kepada Sultan dan raja serta Yang Dipertua Negeri yang bergerak ke Istana Negara.

Marilah kita memeriahkan acara ini dan jadikan acara ini sebagai perayaan kebesaran negara. Kita sendiri perlu terlibat untuk mendukung institusi Yang di-Pertuan Agong.

Pada sebelah malam 24 April itu pula, Majlis Santapan Diraja akan diadakan dan ini juga terhad kepada tetamu jemputan dan ia akan diadakan di Dewan Santapan Utama, Istana Negara.

Pada majlis ini, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat dengan persalinan 'Mess Kit' penuh dengan darjah-darjah kebesaran. Raja-raja Melayu termasuk Yang Dipertua Negeri dan para tetamu yang dijemput juga akan memakai pakaian yang penuh dengan darjah-darjah kebesaran.

Majlis santapan ini adalah sangat tinggi darjatnya.

Pada 2 Mei pula, akan diadakan Pameran 'Raja Kita' di Muzium Diraja atau Istana Negara Lama. Pada 2 Mei itu, acaranya dihadkan kepada jemputan sahaja tetapi pada 3 Mei dan seterusnya orang ramai boleh datang menyaksikan pameran itu dan saya difahamkan pihak Muzium Negara akan membuka pameran itu selama empat bulan.

Terdapat banyak koleksi Yang di-Pertuan Agong dipamerkan di situ selain maklumat dan penceritaan tentang institusi Yang di-Pertuan Agong dan ini adalah amat baik untuk memperkukuhkan lagi pemahaman kita tentang institusi Yang di-Pertuan Agong.

Soalan: Siapakah jemputan yang akan menghadiri istiadat pertabalan itu nanti?

Azuan Effendy: Selain daripada pembesar dan kenamaan negara, kita telah menghantar rombongan dan mempersembahkan Warkah Persilaan kepada Sultan Brunei untuk mempersilakan baginda ke istiadat pertabalan ini. Ia adalah tradisi kita mempersila Sultan Brunei kerana baginda merupakan seorang sultan Melayu.

Selain daripada itu, perwakilan asing dan para duta yang berada di negara ini juga akan dijemput bagi membolehkan mereka menyaksikan sendiri ketinggian darjat istiadat pertabalan yang akan kita laksanakan.

Soalan: Apakah harapan pihak Istana Negara untuk istiadat kali ini?

Azuan Effendy: Harapan saya bagi pihak Istana Negara adalah untuk memastikan kesempurnaan dan kelancaran istiadat pertabalan ini. Sudah tentu kita inginkan kesempurnaan ini kerana kita telah membuat persiapan yang agak rapi, bukan hanya di pihak Istana Negara tetapi juga agensi-agensi lain yang terlibat.

Selain itu saya turut berharap, supaya istiadat kali ini menjadi satu pemangkin terhadap pemahaman rakyat terhadap keteguhan institusi Yang di-Pertuan Agong kerana kita harus faham bahawa di saat kemodenan ini banyak unsur-unsur asing yang kita terima melalui banyak saluran seperti Internet.

Unsur-unsur asing ini kita boleh dapat melalui satu klik sahaja di internet dan walaupun kita berada pada era moden, namun unsur-unsur tradisi, keteguhan budaya kita yang menjadi pemangkin kepada insitusi negara kita iaitu institusi Yang di-Pertuan Agong harus kita pertahankan dan perteguhkan.

Saya harap dengan adanya istiadat pertabalan ini rakyat jelata akan faham akan bertapa peri pentingnya institusi ini untuk terus dipertahan dan dikekalkan dalam sistem negara kita.

Sumber : BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment