Friday, July 28, 2017

Operasi Uber dan GrabCar kini sah

KUALA LUMPUR 27 Julai – Perkhidmatan teksi e-hailing seperti Uber dan GrabCar kini merupakan salah satu pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang dan ‘dihalalkan’ beroperasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Keputusan itu dibuat selepas Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia sekali gus menyaksikan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang mengawal selia undang-undang berhubung perkhidmatan e-hailing itu.

Beliau menjelaskan, pemandu-pemandu e-hailing di Semenanjung Malaysia kini tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) manakala di Sabah dan Sarawak, ia berada di bawah kuasa Lembaga Perlesenan Kende­raan Perdagangan (LPKP).

“Semua syarikat pengendali e-hailing boleh melaksanakan perkhidmatan mereka termasuk pengendali syarikat e-hai­ling tempatan di mana-mana tempat di negara ini. Namun, terma dan syarat-syarat berkaitan belum dimuktamadkan lagi.
“Kita mahu menguatkuasakan serta-merta tetapi kita perlu mengambil kira semua perkara untuk menyelaraskannya yang dianggarkan boleh dilaksanakan dalam tempoh setahun,” katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 bagi bacaan kali kedua, Nancy berkata, laya­nan dan syarat-syarat yang sa­ma akan dikenakan kepada pe­mandu teksi dan e-hailing.

Beliau berkata, ia bagi memastikan industri teksi tanah air dapat terus berkembang selari dengan trend terkini dengan menawarkan perkhidmatan yang baik, mening­katkan taraf hidup pemandu teksi tanpa mengabaikan ke­bajikan golongan itu.
“Syarat-syarat yang dikenakan kepada pe­mandu teksi pa­da wak­tu ini seperti pe­meriksaan kesihatan, pemeriksaan kendera­an berkala, keperluan dilindungi insurans dan kad pemandu akan turut di­patuhi oleh pemandu-pemandu perkhid­matan e-hailing.

“Syarat-syarat ini diperlukan demi faktor keselamatan. Oleh itu, ia tidak akan dikecualikan ke­pada pemandu teksi tetapi akan turut dikenakan kepada peman­du e-hailing,” katanya.

Nancy turut berkata, pada masa ini, tiada keperluan untuk mewujudkan tribunal khusus ba­gi mengendalikan segala aduan oleh pengendali perkhidmatan e-hailing dan teksi.

“Penubuhan tribunal satu perkara yang tidak diperlukan sebab telah wujud meka­nisme sama (Jabatan Aduan SPAD),” katanya.

Sumber : Utusan

0 Komen:

Post a Comment