Tuesday, April 10, 2018

SPR umum 9hb Mei 2018 hari mengundi untuk PRU14

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akhirnya terjawab.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengadakan mesyuarat khas pada jam 10 pagi Selasa menetapkan bahawa PRU14 akan diadakan pada 9 Mei (Rabu).

Dalam sidang media khas yang diadakan selepas mesyuarat tersebut, SPR turut mengumumkan tarikh penamaan calon yang ditetapkan pada 28 April (Sabtu) dan tarikh pengundian awal pada 5 Mei (Sabtu).

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang turut membincangkan daftar pemilih yang digunakan dalam PRU14 dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya.
"Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari bermula dari tarikh penamaan calon sehingga 11.45 malam 8 Mei," katanya semasa mengumumkan tarikh-tarikh penting PRU14 pada sidang akhbar khas yang turut disiarkan secara langsung di beberapa stesen TV dan FB live dari ibu pejabat SPR di Putraya, Selasa.

Pada PRU13 lepas, tempoh berkempen yang ditetapkan ialah selama 15 hari.

Menurutnya lagi, SPR menetapkan writ pilihan raya dikeluarkan 11 April.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu (7 April) bagi memberi laluan kepada PRU14.

Sumber : MStar 

Hari mengundi 9 Mei cuti umum


KUALA LUMPUR 11 April - Kerajaan hari ini mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena hari mengundi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri, ini bagi membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi berikutan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh hari mengundi PRU14 itu merupakan hari bekerja.

"Pengisytiharan cuti umum itu dibuat berdasarkan seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan," menurut kenyataan itu.

Bagi Sabah dan Sarawak, Kerajaan-Kerajaan Negeri hendaklah mengisytiharkan hari kelepasan am tambahan pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing, menurut kenyataan itu. -- BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment