Sebenarnya dah lama pun perjalanan aku ke Itali, enam bulan yang lepas. Hehe baru sekarang aku nak tulis dan kongsi perjalanan aku kat sana. Apa apa pun, perjalanan aku kesana sebenarnya atas urusan kerja tapi aku dapat luangkan masa cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad ke tempat yang aku idam - idamkan iaitu Florence (dalam panggilan orang Itali : Firenze) dan Rome (dalam panggilan orang Itali : Roma).
Aku tinggal di pekan kecil Caravaggio yang terletak 20 minit memandu ke bandar Milan (dalam panggilan orang Itali : Milano) untuk tugasan perniagaan selama enam minggu. Oleh kerana aku keseorangan, banyak aktiviti yang aku lakukan ditemani oleh kereta aku, Fiat 500 (atau disebut dalam panggilan orang Itali "Chinque Cento" yang bermaksud Lima Ratus) dan iPhone yang mempunyai langganan internet daripada penyedia Vodafone Italy (VodaIT).
Perjalanan solo pertama aku ke Florence dan Rome bermula pada jam 730 malam pada Jumaat, 5hb Julai 2013 selepas habis kerja aku terus balik ke hotel, mandi, bawa duit sikit dan terus keluar. Ditemani oleh GPS yang dibekalkan bersama dengan kereta, aku bawa juga Samsung Galaxy Tab aku yang telah dipasang oleh GPS Sygic Aura, dengan peta 3D untuk negara Itali.
Dengan perasaan yang bercampur baur, aku gagahkan diri untuk ke tempat yang aku sudah teringin nak pergi. Bawa baju, kain tuala, makanan untuk makan sambil memandu dan juga yang paling penting duit! Nak bawa duit banyak nanti takut kena rompak ataupun hilang, lepas tu aku bawa je duit berdasarkan pengiraan kos tol (Lebuhraya Itali kena bayar), kos minyak, makan minum dan cenderamata.
Oleh kerana masa tu merupakan musim panas (summer), matahari terbenam agak lewat yakni pada jam 930 malam. Sebab itu aku harus cepat memandu sebelum malam tiba. Aku target nak sampai ke Florence sebelum jam 12 tengah malam. Jam 12 tengah malam pun rasanya dah sangat lewat bagi aku.
Dengan keberanian, aku mulakan perjalanan pertama aku di bumi Itali ke Florence. Aku guna plaza tol E35, untuk masuk ke Autostrada A1 menuju ke arah Rome. Perjalanan ke Florence dipenuhi dengan permandangan cantik bukit bukau dengan diselangi oleh terowong yang menembusi dinding gunung - ganang.
Waktu musim panas dilimpahi oleh trafik yang sangat padat di lebuhraya nasional Itali. Pelbagai kenderaan dari pelusuk Eropah datang membanjiri kawasan hentian rehat di sepanjang lebuhraya. Saat yang aku tak boleh lupa bila aku terperangkap dalam kesesakan lalulintas di kawasan Parma, hampir 1 jam bergerak dengan kelajuan 20-30 km/j!
Autostrada macam lebuhraya kita juga, atau lebih tepat dipanggil PLUS :p Tapi, sistem yang ada lebih sistematik dan canggih dari kita. Depa guna banyak mesin bayar tol automatik, ala macam mesin bayar parking dekat supermarket tu.
Perjalanan yang mengambil masa selama empat jam, aku sampai di Florence pada hampir jam 12 tengah malam.
Bersambung...
0 Komen:
Post a Comment