Friday, September 01, 2017

Malaysia oh Malaysia : Juara keseluruhan Sukan SEA ke 29, Hari Kemerdekaan ke 60 & Aidiladha 1438H

Hujung minggu ni adalah hujung minggu yang panjang. Ye lah, banyak perkara besar yang berlaku pada hujung minggu ni iaitu Majlis Penutup Sukan Asia Tenggara ke 29, Kuala Lumpur 2017, Hari Kebangsaan 2017 bersemperna dengan Kemerdekaan 60 tahun Malaysia dan Hari Raya Aidiladha 1438H

Kecemerlangan negara hadiah ulang tahun kemerdekaan

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kejayaan Malaysia merangkul 145 pingat emas dan menjadi juara keseluruhan Sukan SEA Ke-29 merupakan hadiah kepada negara yang menyambut Hari Kebangsaan kali Ke-60 pada 31 Ogos.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan kontinjen Malaysia itu membuatkan hari kebangsaan tahun ini sangat bermakna.

Beliau mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet negara kerana mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang Sukan SEA dan pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang memberi sokongan sepenuhnya kepada pasukan negara.

“Sambutan kemerdekaan tahun ini mencatatkan sejarah tersendiri kerana pertama Malaysia merupakan tuan rumah Sukan SEA dan kedua esok merupakan kali ke-60 tahun kemerdekaan.

“Tapi bukan dua kegembiraan itu sahaja, malahan tiga iaitu apabila Malaysia dijulang sebagai juara keseluruhan Sukan SEA,” katanya pada upacara penutupan Sukan SEA Ke-29 dan sambutan ambang merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Tambah Perdana Menteri, prestasi mendapatkan 145 pingat itu dianggap sebagai satu kejayaan yang membanggakan apabila menguasai 35.9 peratus daripada keseluruhan 404 pingat emas yang dipertandingkan.

Najib juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana berperanan penting menjayakan penganjuran sukan dwitahunan itu.

Dalam pada itu, Najib berkata, dengan pencapaian cemerlang pada Sukan SEA Ke-29 itu kerajaan mengumumkan Isnin depan sebagai cuti umum.



“Saya bukan senang nak bagi cuti, sebab Malaysia dan terlalu banyak cuti.

“Tetapi kerana pencapaian kita yang luar biasa dan sokongan rakyat yang berbilang kaum maka bagi pihak kerajaan saya mengumumkan cuti pada hari Isnin,” katanya. - UTUSAN ONLINE

 























 











Sekitar sambutan Hari Kebangsaan 2017

Sambutan Hari Kebangsaan 2017 luar biasa

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sambutan Hari Kebangsaan 2017 disambut penuh meriah dan gilang gemilang dengan lebih 500,000 pengunjung membanjiri Dataran Merdeka sebagai menunjukkan semangat solidariti, perpaduan dan cintakan negara.

Bersempena dengan ulang tahun ke-60 kemerdekaan, pengisian acara pada sambutan kali ini digarap selari dengan konsep "Menghidupkan Kembali Penghayatan dan Semangat Merdeka di Stadium Merdeka Pada Tahun 1957"

Acara perbarisan dan perarakan diisi dengan Persembahan Khas Hari Kebangsaan 2017 iaitu Imbasan Pra Kemerdekaan dan Kemerdekaan, Acara Menaikkan Bendera, Bacaan Ikrar Rukun Negara, Laungan Merdeka, Era Kepimpinan semua Perdana Menteri dan Persembahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebanyak lapan kontinjen utama terlibat bagi segmen perbarisan dan perarakan iaitu Kenegaraan, Perpaduan, Animasi dan Industri Kreatif, Sukan SEA dan Para ASEAN, TN50, Ketenteraman Awam, Keselamatan Negara dan Komponen Rakyat Bersatu.

Apa yang menariknya pada sambutan Hari Kebangsaan 2017 adalah penggunaan skrin LED gergasi berukuran 200 meter panjang sembilan meter tinggi.

Setiap persembahan dalam acara perbarisan dan perarakan ditayangkan dengan persembahan grafik dan video di skrin LED gergasi itu.

Sambutan kemerdekaan kali ini juga lebih bermakna apabila waris pejuang-pejuang kemerdekaan hadir memeriahkan majlis.

Antaranya Datuk Seri Ahmad Nerang Tunku Abdul Rahman, Deva Kunjari anak kepada mendiang Tun V.T Sambanthan dan Datuk Alexandar Nanta Linggi cucu kepada mendiang Tan Sri Temenggung Jugah Anak Barieng. - UTUSAN ONLINE

 








Aidiladha 1438H

Doa untuk kesejahteraan Malaysia dari Arafah

ARAFAH 31 Ogos - Jemaah haji Malaysia yang berwukuf di Arafah hari ini mendoakan Malaysia kekal dalam nikmat kestabilan, kesejahteraan dan keselamatan.

Doa yang dibaca Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan diaminkan jemaah haji di sini, turut mendoakan Malaysia serta pemimpinnya dilindungi dari segala keburukan dan keaiban.

“Hindarilah kami dari segala kemungkaran dan kemaksiatan serta pimpinlah kami sekalian ke jalan yang engkau (Allah) redhai buat selama-lamanya,” katanya sewaktu membacakan doa selepas menyampaikan khutbah Arafah pada hari wukuf di sini.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah; Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan beberapa Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Dalam doa itu juga, memohon agar kehidupan rakyat Malaysia dan pemimpinnya dikurniakan sifat terpuji.

“Hiasilah diri kami dengan akhlak kesopanan yang tinggi, tanamkanlah ke dalam jiwa kami rasa rendah diri,” katanya.

Dalam doa yang dibaca itu juga, turut diminta supaya rakyat Malaysia menyatakan kesyukuran di atas nikmat pembangunan dan kemerdekaan Malaysia.

“Kekalkanlah pembangunan yang telah kami laksanakan sama ada yang berbentuk material atau spritual.

“Martabatkanlah negara kami dan seluruh rakyat dengan kemuliaan disisimu Allah,” ujarnya.

Jemaah haji Malaysia turut bersyukur dengan kemajuan yang diperoleh ini hasil kemerdekaan dan kebijaksanaan pemimpin yang dianugerahkan oleh Allah.

“Kurniakanlah kami dengan hikmah dan kebijaksanaan serta ketajaman fikiran agar kami (rakyat) dapat terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” ujar Asyraf Wajdi.

Terdahulu khutbah Arafah telah disampaikan oleh Asyraf Wajdi di salah satu maktab perkhemahan jemaah haji Malaysia.

Khutbah Arafah telah dibacakan serentak oleh beberapa tokoh agama di 14 maktab perkhemahan pada hari wukuf.

Kemuncak wukuf bermula selepas zuhur hari ini dan berakhir menjelang maghrib. - UTUSAN

 























0 Komen:

Post a Comment