Friday, February 23, 2018

Patriotisme Raja Melayu

SEGALA puji ke hadrat Allah SWT yang telah menghiasi hati para kekasihNya dengan cahaya-cahaya pe­­­tunjukNya, serta yang te­lah mengangkat darjat para hamba yang memurnikanNya, sehingga nama mereka agung di dunia dan akhirat. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Setinggi-tinggi syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana de­ngan limpah dan inayah­Nya juga, dapat saya berangkat ke satu majlis ilmu anjuran Mubarak. Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW bersabda da­lam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: “Barang siapa me­nempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan jalannya menuju syurga”.

Pada majlis ilmu hari ini, saya akan mengupas idea dan menzahirkan pandangan saya dalam satu wacana yang bertema “Raja, Perlembagaan dan Patriotisme”.

Patriotisme adalah wadah pem­bentukan sebuah negara yang utuh. Menurut Kamus Dewan, patriotisme adalah suatu perasaan cinta yang kuat kepada tanah air. Manakala Profesor Emeritus Igor Primoratz mengetengahkan pula konsep patriotisme yang turut mengandungi elemen kesetiaan dan pengorbanan seorang warga kepada tanah airnya.

Justeru, patriotisme bolehlah diberi takrifan sebagai ‘perasaan cinta dan kesetiaan kepada tanah air sehingga sanggup berkorban demi mempertahankan tanah air tercinta’. Pembentukan perasaan cinta, kesetiaan dan pengorbanan seorang warga kepada tanah airnya memerlukan satu roh atau semangat yang apabila diwarisi dan dipertahan akan menerbitkan rasa cinta agung anak watan kepada tanah air.

Lantaran itu, saya ingin mengupas hubungkait sejarah Kesultanan Melayu dan sistem raja berperlembagaan dengan semangat patrio­tisme kebangsaan. Wacana saya pada hari ini adalah berlandaskan kepada premis bahawa raja berperlembagaan adalah merupakan manifestasi kepada pembentukan semangat patriotik kebangsaan.

Apabila kita menyisir tawarikh, acuan patriotisme telah pun diasaskan oleh raja-raja Melayu sejak sekian lamanya. Naskhah Sulalat Al-salatin meriwayatkan bagaimana seorang raja bernama Sang Saperba telah membuat ikatan persetiaan dengan Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat jelata. Persetiaan tersebut menggariskan tiga perkara pokok yang wajar diperhalusi oleh generasi masa kini:
Pertama: Persetiaan ini memberi keabsahan atau legitimasi kepada Sang Saperba untuk me­me­rintah dan selanjutnya penerimaan rakyat kepada kedaulatan serta sistem perundangan yang di­tetapkan raja. Melalui keabsahan ini, wujudlah peradaban dan ta­madun yang menjadi tunjang kepada law and order sebuah negara yang akhirnya menjurus kepada kemakmuran dan keamanan.

Kedua: Persetiaan ini menuntut gabungan usaha serta pengorbanan raja dan rakyat dalam mempertahankan kemakmuran dan keamanan negara daripada sebarang bentuk ancaman. Jus­teru, terbentuklah konsep raja dan rakyat saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain sama ada dalam masa aman mahupun ketika negara berdepan dengan musibah.

Ketiga: Tanggungjawab raja dan rakyat untuk membangun, memelihara dan mempertahan kemakmuran serta keamanan negara merupakan satu amanah Allah SWT.

Kesimpulannya, ikatan kese­tiaan di antara raja dan rakyat ini telah berupaya membentuk social order yang menjadi asas peradaban bagi sebuah negara berdaulat yang aman lagi tenteram. Selanjutnya, kesetiaan raja dan rakyat yang rela berkorban demi mempertahan kemakmuran dan ke­amanan negara adalah satu manifestasi semangat patriotisme yang agung.

Apabila kita menjiwai dan men­junjung konsep kesetiaan ini, saya berkeyakinan semangat patriotisme di kalangan generasi kini boleh dibentuk dan dipupuk bagi menangkis sebarang arus perubahan negatif demi memelihara kedaulatan negara kita.

Setelah kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu sekitar abad ke-19 Masihi, seringkali diperkatakan kononnya raja-raja Melayu telah menyerahkan kedaulatan negeri-negeri Melayu kepada Inggeris. Tanggapan seperti ini seolah-olah menggambarkan raja-raja Melayu tidak patriotik dan telah melanggar konsep ikatan kesetiaan antara raja dengan rakyat.

Namun saya berani berhujah bagi menangkis tanggapan ne­gatif seperti ini dengan menyatakan bahawa sebenarnya sema­ngat patriotisme raja-raja Melayu masih kekal utuh dan sentiasa berpegang kepada ikatan ke­se­tiaan Sang Saperba.

Hakikatnya, negeri-negeri Melayu tidak pernah menjadi ‘koloni’ Inggeris dan raja-raja Melayu masih kekal bersemayam di atas singgahsana serta mempunyai kuasa untuk memerintah ne­ge­ri. Kedudukan raja-raja Mela­yu se­masa era pentadbiran Ingge­ris sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan telah diperjelaskan melalui keputusan mahkamah dalam kes Pahang Consolidated Company melawan State of Pahang (1933). Mahkamah telah menggariskan kedudukan Sultan Pahang seperti berikut:

Before 1888 the state of Pahang was an absolute sovereign both politically and legally. In 1888 a British resident was appointed but legal sovereignty remain with the sultan. The legislative power in the state of Pahang resides with the sultan”.

Hakikatnya, kedaulatan raja-ra­ja dan negeri-negeri Melayu ma­sih lagi terpelihara dan Inggeris hanya mewujudkan konsep advisory melalui pelantikan penasihat Inggeris kepada raja-raja Melayu. Kedudukan ini dijelaskan oleh Ro­land Braddell dalam bukunya yang berjudul The legal status of the Malay states, sebagai:

The sultan who is to rule, the resident to advice, not that it is the resident who is to rule and the sultan who is to fiat that rule.

Apabila kerajaan Inggeris cuba memperkenalkan Perlembagaan Malayan Union dalam tahun 1946, maka seluruh anak bangsa telah bangkit bangun dengan semangat patriotisme yang tinggi menentang cubaan Inggeris untuk menjajah secara absolute.

Kesimpulannya, saya menghu­jahkan bahawa percubaan Inggeris untuk memerintah Tanah Melayu dan rakyat secara absolute tidak kesampaian berkat kebijaksanaan dan wisdom raja-raja Melayu serta kesetiaan rakyat yang tidak pernah luntur kepada raja.

Kedaulatan negeri-negeri Melayu di bawah raja yang meme­rintah kekal terpelihara dan institusi raja Me­layu itu sen­diri kekal dihormati oleh Inggeris.

Natijahnya, walaupun sosio-po­litik negara telah mula melalui transformasi yang ketara setelah kedatangan Ing­geris ke Tanah Melayu, sistem beraja dan konsep kesetiaan antara raja dengan rakyat telah menjadi benteng kepada penjajahan mutlak oleh Inggeris.

Ini jauh berbeza dengan kea­daan di negara India dan Indonesia yang mana institusi raja di kedua-dua negara tersebut telah terhapus sama sekali rentetan daripada penjajahan kuasa asing. Ini membuktikan di negara kita, konsep kesetiaan yang dipelopori oleh institusi raja Melayu boleh dijadikan sebagai manifestasi pencetus kepada nilai-nilai perpaduan, nasionalisme dan patrio­tisme.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Perlembagaan Persekutuan telah me­netapkan urus tadbir pemerintahan negara menerusi sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan.

Melalui sistem Demokrasi Berparlimen, rakyat terlibat secara langsung dalam proses pemilihan perwakilan bagi membentuk kerajaan. Manakala, peranan institusi raja-raja Melayu dalam pentadbiran dan pemerintahan negara telah dimaktubkan de­ngan kemas melalui konsep Raja Berperlembagaan.

Namun jika diperhalusi secara mendalam, peranan raja-raja da­lam Perlembagaan moden ini adalah kesinambungan kepada ideologi dan konsep yang telah wujud sejak sekian lamanya.

Jika diamati Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang, bahagian kedua kepada undang-undang tubuh tersebut memberi kuasa kepada raja pemerintah untuk melaksana kewajipan-kewajipan menurut pertimbangan dan budi bicara baginda sendiri.

Antara lain Sultan Pahang mempunyai kuasa budi bicara dalam melantik Menteri Besar, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), pentadbiran agama Islam serta adat-istiadat dan turut mempunyai kuasa untuk mengampun, membatal atau menangguh pelaksanaan hukuman berhubung kesalahan yang dilakukan dalam negeri Pahang.

Jelasnya, Undang-Undang Tu­buh Kerajaan Negeri Pahang mem­beri kuasa budi bicara dan pe­ngaruh yang besar kepada raja pemerintah dalam urusan pentadbiran dan sosiopolitik ne­geri. Perkara ini dijelaskan lagi oleh Profesor Shad Faruqi dalam bukunya yang berjudul The document of destiny:

There is no doubt that the discretionary powers enhance the prestige, authority and influence of the rulers in the political, social and religious life of the nation.

Oleh yang demikian, Perlembagaan sebenarnya telah me­mar­tabatkan kedudukan Raja Berperlembagaan sebagai raja kepada semua bangsa, agama, keturunan, status sosial dan pegangan politik.

Peranan tradisional raja Me­layu sebagai pencetus semangat perpaduan, nasionalisme dan patriotisme masih kekal re­levan dalam negara yang mempunyai ke­pelbagaian demo­grafi politik, sosial, agama dan ekonomi.

Ianya tambah relevan bila mana ne­gara ber­hadapan de­ngan pelbagai ancaman globalisasi melalui penyebaran teori mode­nisasi dan de­mokrasi ala barat se­hingga menyebabkan berlakunya pertembungan dengan nilai jati diri negara.

Dalam konteks ini, adalah ber­tepatan bagi raja berperlembagaan berperanan sebagai mekanisme pe­nyatuan kepada kepelbagaian budaya dan agama dan penangkis ancaman kepada kemakmuran serta keamanan negara.

Selain itu, keunikan negara kita juga turut menzahirkan keperluan satu institusi berkecuali yang tinggi kedudukannya untuk menegur, menasihati dan memberi buah pandangan. Jika tiada institusi seperti ini, maka kesepaduan dan patriotisme serta kesetiaan rakyat kepada negara lama-kelamaannya akan terhakis.

Peranan Raja Berperlembagaan untuk menzahirkan pendapat dan menegur dalam isu-isu yang berkepentingan kepada rakyat dan negara dijelaskan oleh Profesor Shad Faruqi sebagai:

A constitutional monarch has a right to be consulted, to encou­rage and to warn. He may ask for any information in the possession of the cabinet and this information cannot be withheld. He may temper the counsel of his advisers and offer guidance from his own fund of experience.

Jelas dalam keadaan apabila keharmonian dan perpaduan serta kesejahteraan rakyat tergugat, raja-raja turut berperanan untuk menggunakan kewibawaan baginda dalam menegur, menasihati dan mencari jalan penyelesaian.

Peranan ini menjadi begitu penting setelah Pilihan Raya Umum tahun 2008, bila mana kri­sis Perlembagaan berhubung pelantikan Menteri Besar di ne­geri Perlis, Perak, Selangor dan Terengganu telah berjaya diselesaikan menerusi kewibawaan dan kebijaksanaan raja pemerintah.

Sebenarnya, kewibawaan raja berperlembagaan menegur dan memberi pandangan adalah menepati ciri-ciri konsep constructive patriotism yang di pelopori oleh Robert Schatz dan Ervin Staub dalam buku mereka yang berjudul menifestations of blind and constructive patriotism.

Teori ini menjelaskan bahawa kewibawaan menegur dan memberi pandangan adalah berpunca daripada perasaan cinta yang mendalam dan rasa tanggungjawab yang tinggi kepada negara. Justeru, seorang patriotik yang konstruktif akan mempersoal dan mengkritik demi membawa perubahan dan kesan yang positif kepada negara.

Golongan yang mengamalkan constructive patriotism ini akan turut mempamerkan perasaan marah dan malu di atas tindakan tidak wajar pihak-pihak tertentu yang membawa impak negatif kepada negara.

Berlawanan dengan konsep uncritical patriotism ataupun patrio­tisme membuta-tuli, golongan yang mengamalkan patriotisme seperti ini tidak mahu mengkritik dan tidak boleh juga menerima kritikan.

Mereka berpandangan bahawa semua dasar, ketetapan dan tindakan mereka adalah baik, tepat serta tiada cacat-celanya.

Pada hemat saya, si patriot yang membuta tuli ini akan ha­nya mengundang padah kepada negara kerana pemikiran seperti ini adalah merupakan asas peme­rintahan authoritarian. Sebalik­nya, saya menyeru agar dituruti kewibawaan seorang raja berperlembagaan yang mengamalkan constructive patriotism kerana ciri-ciri seperti ini merupakan perlambangan seorang yang mengamalkan demokrasi matang.

Kesimpulannya, konsep Raja Berperlembagaan adalah sebati dengan identiti dan nilai patrio­tisme negara. Raja adalah payung negara, pelindung rakyat jelata, penjaga kemakmuran negara, pen­jamin masa depan negara, pen­damai persengketaan dan obor penyuluh kegelapan.

Tiada yang lebih patriotik bagi seorang Raja Berperlembagaan untuk menegur dan mengutarakan pendapat baginda andai kata falsafah dan identiti negara telah tergelincir atau cuba untuk digelincirkan daripada landasan yang betul sehingga boleh menggugat kesejahteraan rakyat.

Kepada para mahasiswa sekalian yang menjadi pewaris kemerdekaan dan penerus peradaban negara, jadikanlah keunikan konsep kesetiaan raja dan rakyat serta peranan raja berperlembagaan sebagai manifestasi kepada pembentukan semangat patrio­tisme kebangsaan.

Ini kerana semangat patrio­tisme bukan sekadar diterjemahkan dalam bentuk simbolik semata-mata. Saya berkeyakinan, hanya dengan menghayati se­mangat cinta dan kesetiaan yang agung kepada raja dan tanah air sahajalah, negara akan terus maju jaya dalam membelah arus pe­rubahan, menangkis ancaman, mengecapi kemakmuran dan me­niti pemodenan.

Akhir kata, kita jangan lupa pada pepatah ini, ‘bulat air ke­rana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’. Semoga sekalian peserta wacana dilimpahkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT untuk mendapatkan rumusan terbaik demi masa hadapan negara dan sekalian war­ganya.

Dengan kalimah Bismi­lla­hir­rah­manir rahim, saya rasmikan wacana diraja: Raja, Perlembagaan dan Patriotisme bersama alu­mni parlimen mahasiswa di Pahang.

Sumber : Utusan

0 Komen:

Post a Comment