Monday, June 11, 2018

Pemilihan UMNO 2018-2021

Assalamualaikum WBT & Salam Hormat,

Hari ni hari yang ke 26 Ramadan dan umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri kurang dari tempoh seminggu. Semua pakat dok sibuk dalam mengerjakan ibadah berpuasa pada hari – hari yang terakhir dan dalam masa yang sama kalut nak persiapkan untuk menyambut hari Raya.

Walaupun dalam mood berpuasa dan hari Raya, tapi suhu dan senario politik Malaysia masih lagi pada takat yang sama, iaitu Pasca Pilihanraya Umum ke 14 yang berlalu satu bulan yang lepas.

Barisan Nasional telah tumbang dan PM DS Najib telah jatuh dari tampuk pemerintahan yang berkuasa selama Sembilan tahun dan 61 tahun dalam memerintah Malaysia sejak kita merdeka. Bagi saya, saya ambil kekalahan dan kejatuhan Barisan Nasional ni secara positif dan bagi saya walaupun Barisan Nasional jatuh, parti keramat UMNO masih lagi kekal releven kerana merupakan pemegang kerusi majoriti di dalam parlimen dengan 54 kerusi. Alhamdulillah, itu tanda UMNO masih lagi diterima oleh rakyat terutamanya orang Melayu.
DS Najib telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO ekoran kekalahan mengekalkan pemerintahan dan sekarang ni jawatan tu dipangku oleh DS Zahid Hamidi. Dalam masa yang sama, selain daripada terus “meratap” kekalahan Barisan Nasional diperingkat Persekutuan, orang – orang UMNO harus terus cepat move on memulihkan UMNO dan seterusnya menghidupkan kembali roh UMNO dan Barisan Nasional yang telah hancur dek fitnah dan propaganda pihak lawan.

Selepas Pemilihan Agung UMNO ditangguhkan, kini ROS memberi peluang kepada UMNO untuk buat pemilihan Majlis Tertinggi UMNO selewat-lewatnya pada 19 April 2019.

Pemilihan Agung UMNO kali ini bagi penggal 2018 – 2021 harus menjadi titik tolak kepada perubahan UMNO untuk terus kekal releven dan diterima oleh rakyat khususnya orang Melayu yang sesetengah daripada mereka khususnya orang muda telah termakan propaganda dan fitnah dari pihak lawan.

Tukar wajah pimpinan


[caption id="attachment_6008" align="aligncenter" width="800"] Imej dari Mynewshub[/caption]

Harus UMNO akui, Barisan Nasional dan UMNO telah calar teruk dek cemuhan dan fitnah pihak lawan kerana imej bekas Presiden UMNO, DS Najib Razak yang dicemuh sebagai perompak, penyamun dan rasuah. Imej buruk presiden ni hanya salah satu sebab kenapa Barisan Nasional dan UMNO ditolak oleh sesetengah rakyat.

Ahli UMNO tak seharusnya salahkan DS Najib semata-mata, keseluruhan pimpinan tertinggi UMNO harus bertanggungjawab dan dirombak seratus peratus! Muka – muka “Pak Pandir” dalam UMNO terutamanya bekas menteri yang banyak keluarkan kenyataan yang menyakitkan hati rakyat dan jadi ejekkan orang muda harus segera diganti!

Maaf, saya harus berterus terang. Bekas menteri yang ada keluarkan kenyataan sinis dan mengguris hati macam “Kalau ayam mahal, jangan makan ayam” tak perlu berada dibarisan teratas kerana orang muda dah benci. Kalau boleh, tampilkanlah wajah baharu yang segar dan tiada langsung kontroversi selama ni. Dalam UMNO ada ramai tokoh hebat dan berkelayakkan. Kita harus ada pimpinan yang segar untuk buang imej lama UMNO yang terkenal dengan pemimpin lama berkontroversi.

Buang imej parti kelas atasan & kepentingan peribadi




Maaf, UMNO dah hilang kuasa. UMNO dah tak jadi parti yang ada dana besar dari kerajaan macam dulu-dulu dan UMNO bukannya parti yang boleh ambik dan kaut manfaat macam selama ni orang nak UMNO dah jadi parti pembangkang dan segala keistimewaaan UMNO yang dahulu tak ada lagi dah.

Masa ni la kita boleh tengok pemimpin yang betul-betul ikhlas dalam perjuangan UMNO sama ada dia nak terus ada dalam parti ataupun lompat ke parti yang boleh bagi segala kemahuan peribadi dia.

Orang muda banyak tengok UMNO ni parti nak cari duit dan demi perjuangan peribadi. Bila ada pangkat, ada kuasa boleh la hidup mewah. Kebanyakkan orang atau pemimpin UMNO ni pulak tunjuk gaya hidup mewah dan hebat, hisap cigar, minum dan lepak kat tempat ekslusif, naik kereta mahal, mewah dan macam – macam lagi.

Macam mana nak tolong rakyat kalau selalu tonjolkan diri dengan kemegahan hidup? Macam mana nak salami perit jerih rakyat?

Tengku Razaleigh presiden UMNO paling sesuai untuk 2018-2021


[caption id="attachment_6007" align="aligncenter" width="800"] Kredit imej dari ProjekMM[/caption]

Walaupun UMNO perlu diremajakan semula dan dibarisi oleh orang – orang muda, bagi pendapat saya, UMNO masih lagi perlu pimpinan veteran politik, Ku Li. Memang akar umbi UMNO mahukan pimpinan yang baharu, tapi dengan pengalaman yang Ku Li ada adalah bertepatan dengan semangat UMNO sebagai Parti Pembangkang Parlimen ke 14.

Dalam banyak-banyak pimpinan UMNO, rasanya Ku Li lah yang ada semangat dan pengalaman menjadi pembangkang semasa beliau keluar dari parti UMNO dan tubuhkan Parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1988. Pengalaman sebagai pembangkang sangat – sangat diperlukan untuk UMNO dan Barisan Nasional bangun menjadi check and balance bagi kerajaan Pakatan Harapan.

Tak semua orang muda tahu akan pertembungan Dr Mahathir – Ku Li pada Pemilihan Agung UMNO pada tahun 1987 yang menyaksikan kewujudan Team A dan Team B, Ku Li kalah 41 undi menentang Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO, pengharaman parti UMNO dan kelahiran Parti Melayu Semangat 46. Orang muda malas baca dan malas kaji sejarah lampau,

UMNO perlu pemimpin berjiwa pembangkang yang kuat. Tak kisahlah siapa, calon presiden harus keluar dari mindset UMNO parti pemerintah. Semua orang tahu yang Barisan Nasional menjadi pembangkang di DUN Selangor, Johor, Kedah dan Perak tapi prestasi ahli DUN dari BN sebagai pembangkang tak se-sensasi ahli DUN PKR dan DAP. Hambar!

Harapan


Saya percaya, UMNO boleh bangkit kembali memerintah negara pada PRU15 nanti, lepas gelombang kebangkitan orang - orang Melayu terhadap kerajaan Pakatan Harapan tetapi kebangkitan ni tak seharusnya hanya dilakukan oleh parti UMNO sahaja, parti – parti komponen Barisan Nasional yang lain terutamanya MCA, MIC dan GERAKAN harus bangkit menjadi juara bagi bangsa masing – masing dan Barisan Nasional harus dijenamakan dan distrukturkan semula.

Saya sokong akan gesaaan Khairy Jamaluddin agar tak semestinya Pengerusi Barisan Nasional menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, bagilah bakat - bakat muda yang ada untuk bersemangat jadi pembangkang yang efficient, bukannya bangkang atas dasar membangkang!

Bagi saya, Barisan Nasional harus dijenamakan dan diberi nafas baharu. Biarlah PRU14 menjadi pilihan raya umum yang terakhir buat Barisan Nasional, binalah satu barisan yang baharu untuk menggantikan Barisan Nasional yang telah terjejas seperti apa yang dilakukan oleh allahyarham Tun Razak ketika menjenamakan semula Parti Perikatan kepada Parti Barisan Nasional pada tahun 1973.

UMNO tak perlu buka keahlian kepada ahli bukan Melayu, tak guna kalau buka keahlian kepada bukan Melayu, tapi majoritinya adalah ahli Melayu. Bagi saya biarlah UMNO menjuarai isu - isu orang Melayu dan bangsa-bangsa lain diterajui oleh parti komponen yang lain. Ataupun, pimpinan tertinggi harus mencari satu formulasi terbaru untuk menhadapi lanskap politik yang berlainan pada pasca PRU14 dan mendatang.

P/s : Tahun ni tahun pertama tak ada lintas langsung PAU dekat TV :(

Ikhlas,

Luthfi Suib
Ahli UMNO 04299760
Bahagian Permatang Pauh

0 Komen:

Post a Comment