Wednesday, February 26, 2020

Kerajaan Pakatan Harapan Jatuh


PADA pagi Ahad 23 Februari 2020, rutin kebanyakan rakyat Malaysia bermula santai dan indah dengan menikmati hujung minggu bersama keluarga di samping hidangan roti canai, teh tarik dan nasi lemak serta ke pasar membeli barangan keperluan dapur.

Namun bagi para pemain politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan anggota pentadbiran Kabinetnya, Ahad lalu adalah permulaan hari-hari sukar yang membawa kepada kejatuhan sebuah kerajaan yang baru berusia 21 bulan.

Persoalan yang melingkari benak pemikiran setiap rakyat Malaysia, bagaimanakah semua ini boleh berlaku? Pastinya kemuncak kepada semua episod yang berlaku adalah peristiwa pada tengah hari Selasa 24 Februari 2020 apabila terbitnya kenyataan media mengejut daripada Pejabat Perdana Menteri yang menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan.



Berita itu disusuli kemudiannya oleh siaran media Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan parti itu keluar secara rasmi daripada gabungan PH manakala Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula dipecat daripada partinya dan ironinya beliau turut secara rasmi menyatakan membawa keluar bersamanya 10 ahli Parlimen PKR menjadi ahli Parlimen Bebas.

KejatuhanSusulan empat kenyataan yang hampir serentak dan mengejutkan negara itu, parti PH tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, sekali gus membawa kepada kejatuhan sebuah kerajaan yang memerintah tidak sampai satu penggal.

Menjelang senja hari sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali memberikan kenyataan media bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membatalkan semua tugas jemaah menteri dan anggota pentadbirannya.

Namun, apakah kronologi sejarah yang lain yang turut berlaku di sebalik kejatuhan kerajaan PH ini?

Penulis merumuskan bahawa terdapat lima faktor penting yang melatari kemuncak kepada peristiwa utama pada tengah hari Selasa 24 Februari lalu:

1. Pertama adalah perebutan kuasa yang berterusan antara dua ‘seteru’ klasik politik negara iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir.

2. Kedua, perbalahan besar antara blok politik Anwar yang didokongi PKR, DAP dan Amanah dengan blok politik Bersatu dan sebahagian PKR pimpinan Mohamed Azmin yang secara berterusan mendesak Dr Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

3. Ketiga, perpecahan dalaman PKR yang teruk akibat perbalahan Anwar dengan Mohamed Azmin.

4. Keempat, pertembungan terbuka antara blok Anwar dan blok Dr Mahathir dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH malam hari Jumaat 21 Februari 2020 yang menyaksikan Bersatu mengugut untuk keluar PH.

5. Kelima, mesyuarat khas parti Bersatu pada Ahad 23 Februari bersidang bagi memutuskan sama ada parti itu perlu kekal dalam PH atau tidak.

Dalam banyak episod sejarah kejatuhan empayar dan kerajaan terdahulu, kejatuhan sesebuah kerajaan adalah disebabkan kegagalan kekuasaan kerajaan itu sendiri mengurus tadbir isu dan hal ehwal dalamannya. Sejarah juga membuktikan bahawa faktor-faktor kejatuhan antara satu kerajaan dengan yang lainnya adalah hampir sama daripada aspek permasalahannya.

Yang berbeza hanyalah watak, masa dan tempatnya. Faktor perebutan kuasa, persaingan ideologi dan perasaan sombong serta angkuh atas sebab kuasa yang ada adalah antara nilai-nilai buruk yang mendominasi selama 21 bulan pentadbiran kerajaaan PH.

Segala yang berlaku itu perlu diambil iktibar secara jujur dan ikhlas oleh semua agar pada masa hadapan, rakyat tidak lagi tersilap dalam proses pilihan raya. Pastinya perkembangan politik dalam negara ketika ini memberi pelbagai implikasi negatif kepada rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.

Semoga dengan kebijaksanaan Seri Paduka dan Istana Negara, segala episod getir ini akan berakhir dengan natijah yang baik untuk rakyat dan negara. Daulat Tuanku.

Tulisan : DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

0 comments:

Post a Comment